‘Jangan cuba gugat, politikkan Raja, kaum dan agama’
February 26, 2024
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim ibni Sultan Iskandar dalam titah baginda menyentuh bahawa setelah 60 tahun Malaysia dibentuk, namun hubungan perpaduan antara kaum di negara ini masih belum sempurna.
“Kerana masih ada generasi hari ini yang gagal menguasai Bahasa Kebangsaan dan memahami budaya hidup, kaum yang lain. Oleh itu beta menyeru kerajaan merangka satu dasar ke arah perpaduan rakyat yang lebih kukuh dan harmoni.
“Pepatah Melayu ada menyebut meluntur buluh biarlah dari rebungnya. Yang bermaksud jika kita hendak melahirkan generasi masa depan yang bersatu padu dan saling memahami, kita mesti membentuk mereka sejak dari kecil,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian di samping Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah dalam Titah Ucapan DiRaja pada Istiadat Pembukaan Penggal Ke-3 Parlimen Ke-5 di Dewan Rakyat, Parlimen, di sini sebentar tadi.
Sultan Ibrahim juga dalam titah tersebut menyeru kepada semua lapisan masyarakat supaya menjaga keharmonian negara dan tidak memainkan isu sensitif yang melibatkan Raja, kaum dan agama.
“Perlembagaan telah mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi Malaysia dan akan terus kekal dipelihara. Namun begitu agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman, tetapi tidak boleh disebarkan kepada orang Islam.
“Oleh itu janganlah ada mana-mana pihak yang cuba menggugat atau mempolitikkan asas Perlembagaan ini,” titah baginda yang mengangkat sumpah jawatan bermula 31 Januari lalu.
Baginda bertitah berpuas hati dengan usaha kerajaan dalam menyelesaikan perkara-perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 dan berharap agar ianya memenuhi hasrat dan aspirasi demi kemakmuran bersama.
Namun bertitah, berasa kecewa apabila dimaklumkan bahawa kerajaan hari ini sedang menanggung beban hutang yang semakin besar disebabkan sejak tahun 1998 kerajaan sentiasa berada dalam kedudukan defisit kekal.
“Adakah beban ini akan kita tinggalkan untuk ditanggung oleh anak cucu kita nanti? Jawapannya adalah pada semua ahli-ahli dewan di sini. Keadaan kewangan kerajaan yang telah lama lemah akan menyukarkan kerajaan untuk melaksanakan projek pembangunan baharu.
“Atau memberikan suntikan kewangan bagi merancakkan pertubuhan ekonomi. Oleh itu beta menyokong hasrat kerajaan untuk segera mengambil langkah penjimatan termasuk melaksanakan pemberian subsidi secara besar-besaran,” titah baginda. – HARAKAHDAILY 26/2/2024
Ulasan
Catat Ulasan