Jualan McDonald's merosot pada suku pertama



Jualan McDonald's merosot pada suku pertama
Oleh Reuters - Februari 6, 2024 @ 3:42pm
McDonald's antara jenama yang berdepan dengan protes dan kempen boikot terhadap pendirian pro-Israel - Foto Reuters

BENGALURU: Restoran perkhidmatan segera, McDonald's merekodkan jualan yang lebih rendah dalam tempoh hampir empat tahun pada suku tahun pertamanya.

Penyusutan itu disebabkan pertumbuhan jualan yang lemah di bahagian perniagaan antarabangsanya, sebahagiannya disebabkan konflik di Asia Barat, menyebabkan saham syarikat itu turun sekitar empat peratus.

Jenama global itu adalah antara beberapa jenama Barat yang berdepan dengan protes dan kempen boikot terhadap pendirian pro-Israel.

McDonald's berkata 'perang' itu telah 'mempengaruhi' prestasi di beberapa pasaran luar negara pada suku keempat.
DISYORKAN UNTUK ANDA









Ketua Pegawai Eksekutifnya, Chris Kempczinski, berkata dengan kesan yang paling ketara di Asia Barat, syarikat itu juga melihat impak kepada perniagaan di negara-negara seperti Malaysia dan Indonesia serta di Perancis.


"Selagi perang ini berterusan... kami tidak akan menjangkakan untuk melihat sebarang peningkatan yang ketara (dalam pasaran ini)," katanya.


Pengurus portfolio pelanggan di Zacks Investment Management, yang memegang saham McDonald's, Brian Mulberry berkata, kesan (perang) terhadap ketahanan pendapatan akan menjadi kebimbangan terbesarnya.

"Nampaknya, ini akan menjadi isu yang berterusan melepasi suku berikutnya atau mungkin dua suku lagi," katanya.

China, pasaran kedua terbesar McDonald's, juga kekal lemah walaupun terdapat langkah sokongan kerajaan.

Walaupun McDonald's tidak menyediakan pecahan jualan individu dalam pasaran antarabangsa, ia menyatakan promosi global meningkat di China pada suku berkenaan apabila restoran tergesa-gesa untuk melonjakkan semula permintaan.

Perniagaan McDonald's di AS juga menunjukkan tanda kelembapan, terutamanya dengan pengguna berpendapatan rendah mengurangkan saiz pesanan atau membeli produk yang lebih murah.

"Ia akan mengambil sedikit masa untuk bangkit semula di Asia Barat," kata penganalisis Stephens, Joshua Long sambil menambah beliau masih positif terhadap saham McDonald's kerana ia adalah salah satu jenama yang berada di kedudukan terbaik untuk mengharungi persekitaran makro yang rumit.

McDonald's mengunjurkan margin operasi tahun ini berada dalam julat pertengahan hingga 40 peratus dan menjangkakan lebih daripada 1,600 penambahan restoran tahun ini.

Ia melaporkan margin operasi sebanyak 45.7 peratus untuk 2023.

-Reuters

Ulasan