KEDAULATAN PULAU BATU PUTEH : PENUBUHAN RCI LANGKAH POSITIF


KEDAULATAN PULAU BATU PUTEH : PENUBUHAN RCI LANGKAH POSITIF

Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk mengkaji pengendalian kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan adalah sesuatu yang sangat dinanti-nantikan bagi mereka yang terus memperjuangkan supaya kedaulatannya akan kembali kepada negara kita semula.

Lebih-lebih lagi, ianya telah mendapat perkenan dari Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim ibni Sultan Iskandar supaya cadangan RCI untuk mengkaji pengendalian kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan ditubuhkan.

Saya secara konsisten menegaskan bahawa kerajaan perlu untuk meneruskan usaha mengembalikan Pulau Batu Puteh menjadi hak milik semula negara.

Apabila kerajaan Malaysia pada 2 Februari 2017 telah memfailkan permohonan semakan semula keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan, saya melihat bahawa ianya sesuatu langkah yang positif kerana semuanya dilakukan berlandaskan undang-undang antarabangsa dan mengikut ketetapan ICJ di The Hague, Belanda.

Seperti yang pernah dinyatakan oleh mantan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali bahawa tiga fakta baharu yang diperoleh bagi menyokong permohonan Malaysia menyemak keputusan ICJ telah ditemui selepas Pejabat Peguam Negara meneliti lebih 3,000 dokumen milik National Archives of the United Kingdom atau Arkib Negara United Kingdom di sana sebelum ini membuktikan kita mempunyai peluang yang lebih meyakinkan untuk berjaya.

Sebab itu saya nyatakan sebelum ini bahawa penarikan semakan semula yang dibuat pada tahun 2018 adalah sesuatu yang merugikan.


Malah saya juga bersetuju dengan gesaan Datuk Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor yang dibuat pada tahun 2022 supaya pengkhianat yang mengakibatkan negara kehilangan hak dan kedaulatan pulau-pulau ini dikenakan tindakan undang-undang yang sewajarnya.


Semoga penubuhan RCI ini akan memberikan sinar baharu kepada perjuangan untuk mengembalikan Pulau Batu Puteh menjadi milik kita kembali.

Sekian.

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
14 Februari 2024

Ulasan