Kenaikan SST bakal bebankan rakyat, negara





Kenaikan SST bakal bebankan rakyat, negara
February 5, 2024

Share


KUALA LUMPUR: Kenaikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak lapan peratus bagi sektor perkhidmatan akan datang, berkemungkinan besar akan mengakibatkan kesan rantaian ekonomi yang menghimpit rakyat.

Dewan Pemuda PAS Malaysia berkata, rakyat Malaysia akan tetap terkesan daripada kenaikan kadar daripada enam peratus kepada lapan peratus walaupun makanan, minuman serta komunikasi dikecualikan daripada langkah berkenaan.

“Pelbagai aspek kehidupan harian rakyat akan terkesan daripada peningkatan kadar SST itu, yang secara langsung menambahkan beban kewangan. Kesan buruk SST bukan sahaja kepada rakyat itu sendiri malah turut memberi kesan kepada negara.

“Walaupun makanan, minuman dan komunikasi dikecualikan kenaikan kadar SST ini, namun rakyat masih perlu membayar kos asas hidup lain seperti komunikasi, penginapan, e-hailing, perubatan dan lain-lain.

“Kesan SST terhadap rakyat amat membebankan tambahan lagi dengan pelbagai cukai yang perlu dibayar oleh rakyat Malaysia,” ujar kenyataan tersebut.

Menurut kenyataan itu lagi, kesan SST kepada negara adalah seperti ‘black economy’ iaitu aktiviti ekonomi tidak direkod dan tidak membayar cukai kepada kerajaan kerana mereka yang tidak membayar cukai tidak dapat dipantau dan terdapat ketirisan.

“Jika cukai tidak dibayar, ia akan menjejaskan pendapatan negara di mana SST bercirikan skop yang lebih kecil merupakan strategi berhemat dalam cukai penggunaan.

“Ini kerana ia hanya dikenakan kepada barangan dan perkhidmatan tertentu berbanding dengan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang mempunyai skop menyeluruh malah lebih telus berbanding SST,” kata kenyataan itu. – HARAKAHDAILY 5/2/2024

Ulasan