Kerajaan Madani tidak serius kes Nik Elin


Kerajaan Madani tidak serius kes Nik Elin
February 12, 2024

KOTA BHARU: Kerajaan Madani perlu menyatakan pendirian jelas terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 peruntukan dalam Enakmen Syariah (1) Kelantan 2019.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berkata, ramai pengamal undang-undang menyuarakan kebimbangan jika kerajaan tidak memandang serius keputusan itu.

Katanya, kerajaan melalui Jabatan Peguam Negara perlu bersikap proaktif bagi menutup kelemahan Perlembagaan Negara bagi memperkasa sistem perundangan syariah negara.

“Kerajaan hari ini tidak perlu bersikap defensif terhadap isu tersebut. Kenapa (kerajaan) nak nampak defensif sangat? Adakah takut kepada abang besar?,” soal beliau dalam status di Facebooknya semalam.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu turut berkongsi kenyataan bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Dato’ Dr Hamid Sultan Abu Backer yang disiarkan di laman Free Malaysia Today (FMT).

Dr Hamid berpandangan keputusan sembilan hakim Jumaat lalu yang membatalkan 16 dari 18 peruntukan dalam enakmen tersebut tidak perlu dipertikaikan semua pihak.

Sebaliknya menurut bekas hakim itu, apa yang boleh dipersoalkan ialah kegagalan kerajaan dan Jabatan Peguam Negara hadir dalam prosiding itu luar biasa dari segi undang-undang.

Mahkamah Persekutuan Jumaat lalu membatalkan 16 peruntukan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 atas alasan Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak berkuasa meluluskannya.

Petisyen yang dikemukakan peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman juga didakwa bercanggah Perlembagaan Negara. – HARAKAHDAILY 12/2/2024

Ulasan