Kes Nik Elin beri gambaran Islam agama Persekutuan hanya kosmetik


Kes Nik Elin beri gambaran Islam agama Persekutuan hanya kosmetik
February 12, 2024


Zulkeflee Yaacob


KOTA BHARU: Keputusan Mahkamah Persekutuan Jumaat (9 Feb) lepas menggambarkan Fasal 3 Islam sebagai agama Persekutuan yang tidak lebih merupakan kosmetik bagi meneruskan kelangsungan undang-undang ciptaan Lord Reid.

Penasihat Keluarga, Wanita dan Kebajikan Kelantan, Dr Zulkeflee Yaacob berkata, Majlis Raja-Raja selaku pelindung masyarakat Melayu Islam perlu menggembleng dan meneliti kesan kepada negara terhadap kes tersebut.

Ini kerana kata beliau, negara ini mempunyai majoriti populasi 17.6 juta Melayu daripada keseluruhan 33 juta penduduk.

“Sedangkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 dilaksana selepas mendapat perkenan daripada Sultan Kelantan,” katanya di sini.

Terdahulu, pada Jumaat lepas Mahkamah Persekutuan memutuskan 16 kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 adalah batal dan tidak sah.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel sembilan hakim membenarkan permohonan dua wanita Islam mencabar isu perlembagaan untuk membatalkan 18 peruntukan kesalahan di bawah enakmen terbabit.

Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Abdul Rahman sebelum itu telah mencabar kesahihan 18 peruntukan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 dengan dakwaan terdapat undang-undang Persekutuan yang meliputi kesalahan serupa.

Dalam pada itu, tambah Zulkeflee yang juga pensyarah UPSI, enakmen terbabit sebagai kaedah pelaksanaan hukuman retributif (hukuman setimpal dengan kesalahan) dan restoratif (hukuman bersifat pemulihan) untuk memberi kesedaran kepada pesalah syariah.

“Undang-undang bertujuan mendidik dan menepati perintah agama dan menjadikan syariat Islam sebagai panduan kehidupan,” hujahnya.

Oleh itu, kata beliau, peruntukan enakmen terbabit sering dikaji, diteliti dan wajar ditambah baik sesuai dengan perkembangan sosial masyarakat sekarang.

“Mahkamah Syariah di negara ini hanya diberi kuasa membicara kes-kes had hukumannya maksimum tiga tahun penjara atau denda RM5,000 atau enam sebatan atau gabungan mana-mana hukuman terbabit,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/2/2024

Ulasan