Kronologi kes saman fitnah antara Sanusi dan Mahfuz



Kronologi kes saman fitnah antara Sanusi dan Mahfuz
February 4, 2024

KES MAHKAMAH melibatkan saman fitnah antara Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Kedah, Dato’ Mahfuz Omar dan Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor telah menjadi perhatian ramai.

Masing-masing mereka memenangi kes yang difailkan terhadap satu sama lain, namun reaksi balas antara keduanya paling menarik untuk diteliti. Ketika Sanusi menyerlahkan sikap matang, profesional dan tenangnya, Mahfuz pula seperti kebudak-budakan dan gopoh.

Mahfuz yang menang peringkat awal RM50,000 dan kemudian RM120,000 selepas rayuan, masih bercita-cita untuk Sanusi dikenakan bayaran ganti rugi sehingga RM240,000. Bagaimanapun Sanusi menang dalam samannya ke atas Mahfuz dengan ganti rugi RM250,000 yakni lebih banyak dari dicita-citakan Mahfuz.

Kronologi ini menyoroti semula tindak balas utama antara kedua pihak sepanjang proses kedua-dua kes tersebut di mana dipaparkan untuk menjadi penilaian adil oleh semua pihak terhadap mereka.

————–‐‐————————————

9 OKTOBER 2019: Mahfuz memfailkan saman berdasarkan hantaran dibuat Sanusi melalui akaun Facebook pada 30 Julai 2019 yang mengaitkan Ahli Parlimen Pokok Sena itu dalam isu pemindahan premis judi Sport Toto ke kawasan itu.

Mahfuz juga mendakwa Muhammad Sanusi menerbitkan satu video berdurasi 7 minit 57 saat di akaun Facebook sama pada 27 Julai 2019, yang memaparkan sekumpulan individu membantah pembukaan Sport Toto di Pokok Sena sambil memegang sepanduk yang tertera nama plaintif.

21 OKTOBER 2020: Sanusi memfailkan saman fitnah terhadap beberapa individu termasuk Mahfuz yang menuduh beliau terlibat dengan pembelian kenderaan mewah jenis Toyota Vellfire oleh Syarikat Air Darul Aman (SADA).

Penularan berita itu turut mendorong Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menemui pengurusan syarikat tersebut untuk meneliti dokumen berkaitan pembelian kereta mewah tersebut.

Pengerusi SADA itu sebelum ini telah menjelaskan bahawa pembelian Toyota Vellfire tersebut untuk penggunaan secara perkongsian oleh ahli lembaga pengarah, pegawai kanan serta tetamu mereka.

8 NOVEMBER 2021: Mahkamah Tinggi memerintahkan Sanusi membayar ganti rugi RM50,000 kepada Mahfuz Omar berhubung kenyataan fitnah melalui hantaran Facebook dua tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohd Arief Emran Arifin membuat perintah itu selepas membenarkan saman fitnah dikemukakan Mahfuz selaku plaintif terhadap Sanusi sebagai defendan.

Peguam, Noorazmir Zakaria yang mewakili Mahfuz berkata, mahkamah memerintahkan Sanusi yang diwakili peguam, Yusfarizal Yussoff dan Mohd Faizi Che Abu membayar ganti rugi tersebut dalam tempoh 14 hari.

“Mahkamah juga memerintahkan defendan menulis permohonan maaf kepada plaintif di laman Facebook milik defendan dalam tempoh 14 hari dan memerintahkan defendan membayar kos tindakan guaman kepada plaintif berjumlah RM15,000.

“Perintah-perintah lain yang dikenakan ialah satu injunksi menegah defendan atau ejen-ejennya daripada menerbitkan kata-kata fitnah terhadap plaintif pada masa hadapan,” katanya.

3 APRIL 2023: Sanusi gagal dalam rayuan saman fitnah terhadap Mahfuz, namun permohonan Mahfuz untuk menaikkan jumlah bayaran ganti rugi diluluskan daripada RM50,000 kepada RM120,000.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, Datuk Seri Mariana Yahya dan Datuk Wong Kian Kheong membenarkan rayuan balas Mahfuz untuk kuantum ganti rugi itu dinaikkan.

4 APRIL 2023: Sanusi atas rasa tanggungjawab tuntutan dibuat pihak Mahfuz, akan melunaskan bayaran ganti rugi sebanyak RM120,000 sebagaimana diputuskan Mahkamah Rayuan Putrajaya, semalam.

“Saya didapati bersalah dan diperintahkan membayar ganti rugi RM50,000 oleh Mahkamah Tinggi, kemudian dinaikkan kepada RM120,000 oleh Mahkamah Rayuan kerana RM50,000 didapati terlalu rendah oleh plaintif.

“Mereka membuat ‘counter appeal’ untuk tuntut lebih tinggi. Apabila sudah didapati bersalah, menjadi tanggungjawab saya untuk melunaskan tuntutan mereka. Saya akan berusaha bayar berapa pun harganya,” katanya.

Dalam pada itu Sanusi menegaskan, Kerajaan Negeri Kedah tidak akan mengambil mudah isu perjudian selepas menguatkuasakan penutupan sepenuhnya operasi premis judi di negeri tersebut.

“Mengambil mudah atau mengendurkan tekad perjuangan hanya kerana kepentingan politik, takut hilang sokongan atau membiarkan rakyat negeri ini terjebak menjadi kaki judi, tidak sekali,” tegasnya.

Menurutnya sebagai ahli dan pimpinan PAS, beliau serius membanteras kegiatan perjudian di Kedah sejurus mengambil alih kerajaan negeri pada 17 Mei 2020.

“Ini merupakan satu langkah besar dibuat mulai 2021 hingga 2022 untuk memberhentikan pengeluaran lesen premis perjudian di seluruh negeri, apabila lesen sedia ada tamat beransur-ansur daripada 2021 hingga Disember 2022,” ujarnya.

Menurutnya lagi, mulai Januari 2023, tiada lagi premis perjudian berlesen di seluruh Kedah, selari dengan matlamat PAS menghentikan kegiatan yang merosakkan masyarakat itu.

“Jika didapati terdapat premis judi tanpa lesen (premis haram) wujud di mana-mana tempat di negeri ini, pihak polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) akan melaksanakan operasi membanteras perjudian selari dengan peruntukan undang-undang.

“Inilah yang dimaksudkan dengan tidak main-main atau ambil mudah dengan judi,” jelasnya.

4 APRIL 2023: Mahfuz mengingatkan Sanusi agar mengambil iktibar keputusan Mahkamah Rayuan Putrajaya yang mengekalkan hukuman bersalah atas kesalahan memfitnah yang dilakukan beliau pada 2019.

Mahfuz berkata, Sanusi dinasihatkan agar tidak berterusan bersikap ego, selain perlu meminta maaf secara terbuka kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berhubung kes saman dikemukakan Anwar terhadap Sanusi.

Menurutnya, keputusan saman fitnah berkenaan membuktikan perbuatan Menteri Besar Kedah itu adalah salah dan menyerlahkan sikap beliau yang gemar mengeluarkan kenyataan berunsur negatif.

“Saya bersyukur keputusan mahkamah menyebelahi saya, ini adalah kemenangan kedua di peringkat Mahkamah Rayuan selepas menang pertama kali kes sama di Mahkamah Tinggi sebelum ini.

“Perbuatan fitnah merupakan perkara yang serius. Masyarakat harus melihat keputusan ini sebagai bukti Sanusi cenderung untuk mengaibkan orang, memburukkan serta memfitnah orang sehingga perkara sama turut berlaku kepada Perdana Menteri,” katanya.

Mahfuz yang juga bekas Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, Muhammad Sanusi wajar menjadikan kes terbabit sebagai panduan dan pengajaran dalam berdepan kes saman Anwar selepas ini.

23 APRIL 2023: Mahfuz mengingatkan Sanusi agar membayar ganti rugi sebanyak RM120,000 seperti diputuskan mahkamah yang menetapkan tempoh pembayaran adalah 14 hari daripada proses penghakiman.

Menurut Mahfuz, sekiranya Sanusi mahu menangguhkan pembayaran tersebut, dia diminta berhubung dengan peguam bagi meneruskan hasrat itu, tetapi tidak seharusnya menunggu sehingga perintah mahkamah dikeluarkan kerana keputusan telah pun diputuskan.

“Bermakna sekiranya nak bayar tak perlu tunggu perintah mahkamah dikeluarkan terhadap beliau, terus bayar sahaja. Kecuali mungkin beliau mahu merayu pula ke Mahkamah Persekutuan, yang itu perlu beritahu kepada peguam saya, tiada masalah.

“Saya akan arah pula peguam saya buat rayuan pencelahan di mahkamah mungkin untuk minta tambah daripada RM120,000 kepada RM240,000,” katanya.

Menurutnya, permohonan maaf secara terbuka juga perlu dibuat berdasarkan kepada tuntutan berkenaan, namun sehingga kini belum dilakukan.

Mahfuz secara berseloroh turut memuat naik rakaman video di laman Twitter berhubung perkara tersebut bagi mengingatkan Sanusi mengenai ganti rugi yang perlu dibayar itu.

2 MEI 2023: Sanusi meminta Mahfuz merujuk kepada peguam untuk proses pembayaran kes saman fitnah, bukannya meminta secara terus menerusi rakaman video yang dimuat naik di laman sosial.

Beliau menyifatkan tindakan Mahfuz itu sebagai mencari publisiti murahan, berikutan sejak awal kes berkenaan diuruskan oleh kedua-dua peguam yang dilantik.

“Semua urusan berkenaan dengan saman, afidavit atau pembelaan semua peguam uruskan, bukan saya berurusan secara terus dengan dia.

“Daripada awal lagi proses ini diurus antara peguam saya dan peguam Mahfuz, daripada bicara kes sampai selesai. Jadi tak betul lah kalau tentang bayaran Mahfuz cuba bertindak sendiri,” katanya.

Sanusi turut menasihatkan Mahfuz agar bersabar kerana proses membabitkan guaman kebiasaannya mengambil masa dan turut menempelak tindakan Mahfuz meminta bayaran RM120,000 menerusi rakaman video yang dimuat naik di laman twitter.

Beliau menyifatkan Mahfuz sebagai cubaan untuk menimbulkan persepsi negatif terhadap dirinya di mana cara berpolitik seperti itu adalah seperti tahun 60-an yang tidak lagi sesuai dengan zaman sekarang kerana orang cerdik menilai.

4 MEI 2023: Mahfuz memberi Sanusi tiga pilihan dalam menyelesaikan kes tuntutan ganti rugi saman fitnah yang dikemukanya sama ada perlu membayar segera RM120,000 seperti yang diputuskan atau bakal berdepan notis kebankrapan akan difailkan ke atasnya sekiranya gagal berbuat demikian.

Menurutnya, tuntutan RM120,000 akan dinaikkan kepada RM240,000 sekiranya Sanusi berhasrat untuk mengemukakan penangguhan atau rayuan berhubung keputusan mahkamah berkenaan.

“Saya akan bincang dengan peguam dalam masa terdekat untuk meneruskan tindakan yang bersesuaian termasuk menyita aset Menteri Besar Kedah sekiranya beliau masih menangguh bayaran saman tersebut.

“Saya akan tunggu nasihat peguam sama ada akan failkan kebankrapan terhadap Sanusi atau sita harta beliau dengan nilai RM120,000,” katanya memberitahu sudah melebihi 14 hari daripada tempoh bayaran saman itu belum dilunaskan Sanusi.

Menurut Mahfuz, memandangkan kes berkenaan sudah melepasi tempoh yang sepatutnya, beliau akan meminta peguam yang dilantik untuk bertindak.

“Kalau Sanusi mahu selesai melalui peguam dengan peguam pun boleh, beliau boleh beri duit itu kepada peguam saya dan kemudian peguam akan serahkan kepada saya, tetapi yang itu pun dia tidak buat.

“Sanusi ada pilihan undang-undang. Beliau boleh pindahkan wang itu terus ke akaun saya, iaitu RM120,000 campur RM15,000 sebagai kos mahkamah dan RM10,000 kos guaman menjadikan keseluruhan RM145,000. Kemudian maklum menerusi WhatsApp dan selesai,” katanya lagi.

Mahfuz turut kesal apabila permohonan maaf yang sepatutnya dilakukan Sanusi secara terbuka juga masih belum dilakukan.

18 MEI 2023: Sanusi mengingatkan Mahfuz agar tidak berbelanja keterlaluan wang pampasan kes mahkamah yang diterimanya.

Katanya, tidak mustahil wang ganti rugi yang dibayar itu akan kembali kepadanya jika kes saman terhadap Mahfuz berpihak kepada dirinya.

“Kalau saya menang kes itu, dia (Mahfuz) bayar baliklah duit saya itu. Jadi jangan belanja lagi duit yang saya bayar itu. Mungkin esok dia kena bayar saya pula,” katanya merujuk kes difitnah membeli Vellfire.

19 MEI 2023: Sanusi membuat permohonan maaf kepada Mahfuz sebagaimana perintah penghakiman oleh mahkamah menerusi laman Facebook beliau.

“Pada 30 Julai 2019, saya telah membuat satu hantaran di Facebook yang menyentuh isu perpindahan premis judi dari Alor Setar ke Pokok Sena.

“Saya menyatakan bahawa pemimpin PAN dan Pakatan Harapan (PH) yang merupakan kerajaan ketika itu sudah pudar sensitivitinya kerana perpindahan premis berkenaan berlaku ke kawasan majoriti Islam di Kedah tanpa sebarang halangan.

“Sehingga isu tersebut ditimbulkan masyarakat setempat dan saya, empat bulan selepas kelulusan diberikan Kementerian Kewangan,” tulisnya.

Mahfuz dalam pada itu bersyukur Sanusi akur dengan hakikat bahawa beliau telah memfitnahnya dan berharap Sanusi insaf dengan perbuatannya itu.

Kata beliau, sekiranya Sanusi berasakan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan tidak betul, sudah pasti Menteri Besar Kedah itu akan membuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan.

“Alhamdulillah, semoga keinsafan Sanusi ini berkekalan dan tidak lagi koyak,” katanya.

19 MEI 2023: Mahfuz menyifatkan Sanusi tidak wajar mendahului mahkamah berhubung kes saman fitnah isu Vellfire yang masih berlangsung, apabila memberi bayangan seolah-olah akan menang dengan menjangkakan kemungkinan bayaran ganti rugi diterima Mahfuz dalam kes fitnah isu judi akan kembali kepadanya.

“Sanusi membayangkan seolah akan menang kes yang masih berjalan. Tindakan seperti itu bahaya, sekiranya mendahului keputusan mahkamah dan ramal akan menang, tiba-tiba tak menang. Bimbang nanti ‘tersepuk’ jika kalah.

“Saya risau sekali lagi dia akan memalukan diri sendiri dan mengadu kepada Sultan Kedah sama seperti kes saman sebelum ini yang tidak berpihak kepada beliau,” kata Mahfuz memaklumkan kes saman yang difailkan Sanusi terhadap dirinya itu masih di peringkat memberi keterangan.

Maklumnya juga, Sanusi belum selesai berikan keterangan dan beliau pula belum dipanggil mahkamah dan masih tunggu giliran untuk berikan keterangan kes yang masih tertangguh dan kemungkinan disambung pada Julai.

“Terima kasih sebab ingatkan saya jangan belanja habis wang itu, saya bukan jenis boros. Lagipun saya tak minat dengan kenderaan mewah dan tidak ada niat beli kereta, cukup yang ada sekarang. Saya pun jenis yang berjimat cermat,” ucap Mahfuz atas peringatan Sanusi agar tidak berbelanja besar wang pampasan yang diterima.

31 JANUARI 2024: Mahkamah Tinggi membenarkan tuntutan saman fitnah Sanusi terhadap Mahfuz berkaitan tuduhan membeli Vellfire untuk kegunaan peribadi dengan menyalahgunakan dana SADA.

Mahfuz diperintahkan membuat permohonan maaf dalam tempoh 14 hari serta membayar Gantirugi Am berjumlah RM200,000 dan gantirugi tauladan sebanyak RM50,000 selain kos sebanyak RM30,000.

1 FEBRUARI 2024: Mahfuz berkata beliau sedia membuat bayaran penuh RM250,000 kepada Sanusi, bagaimanapun akan dibuat selepas selesai proses rayuan yang akan dikemukakan di Mahkamah Rayuan.

Mahfuz berkata, terdapat dua peringkat rayuan boleh dibuatnya iaitu di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan dan mengingatkan kepada penyokong Sanusi agar dapat bersabar.

“Saya akan tetap hormati kalau mahkamah pada akhirnya memutuskan saya perlu bayar kepada Sanusi. Kalau selepas rayuan ini mahkamah suruh bayar juga, saya takkan tangguhkan bayaran atau buat kenyataan ‘langkah mayat aku dulu’,” sindirnya.

Disusun oleh:

IZWAN ABDUL HALIM – HARAKAHDAILY 4/2/2024

Ulasan