“Langkah mayat saya dulu!” – Di sebalik amaran MB Kedah

“Langkah mayat saya dulu!” – Di sebalik amaran MB Kedah
February 5, 2024

Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor
“Langkah mayat saya dulu.”

Itu reaksi Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor ketika ditanya wartawan mengenai cadangan penubuhan sebuah lembaga pengurusan lembangan sungai di kawasan Ulu Muda, Kedah yang mahu diletak di bawah Kerajaan Persekutuan.

“Sesiapa yang nak masuk campur dalam urusan pentadbiran Negeri Kedah, kena langkah mayat saya dulu.”

Menteri Besar Kedah menyuarakan amaran selepas Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menggesa Kerajaan Persekutuan menimbang secara serius cadangan lembaga yang dinamakan Ulu Muda Basin Authority (UMBA) untuk mentadbir kawasan lembangan itu.

UMBA mahu ditubuhkan dengan menjadikan Murray – Darling Basin Authority (MDBA) di Australia sebagai model. MDBA merentasi lima wilayah iaitu Queensland, New South Wales, The Australian Capital Territory (ACT) Victoria dan South Australia.

Bagi Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), sebuah agensi Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang menguruskan bekalan air terawat di negeri itu, UMBA adalah penyelesaian bagi isu sumber air mentah yang telah menjadi ‘duri dalam daging’ hubungan dengan Kerajaan Kedah sejak sekian lama.

Ini kerana Sungai Muda yang menjadi sumber bekalan utama air mentah Pulau Pinang adalah berpunca dari kawasan tadahan di Negeri Kedah dengan 95 peratus aliran sungai itu adalah di dalam wilayah Negeri Kedah.

Dari segi penggunaan, Pulau Pinang mengabstrak 1.1 juta liter padu (MLD) air sehari atau 54 peratus air dari Sungai Muda. Ini jauh lebih tinggi berbanding 800,000 MLD atau hanya 46 peratus air Sungai Muda digunakan oleh rakyat Kedah sendiri.

Pulau Pinang meraih keuntungan yang lumayan dengan menjual air terawat yang bersumberl dari Sungai Muda kepada sektor industri, perkapalan dan premis-premis perniagaan berdasarkan tarif komersial.

Kerajaan Negeri Kedah yang menanggung kos memulihara hutan di kawasan tadahan seluas 341,000 hektar di Ulu Muda dan menyenggara Sungai Muda yang sepanjang 178 kilometer di dalam wilayah Negeri Kedah, tidak dibayar sesen pun walaupun tuntutan dan ajakan untuk berunding sudah dibuat sejak tahun 2010.

Selain kos memulihara hutan dan sungai, Kerajaan Kedah juga menanggung kerugian disebabkan sekatan pembalakan di dalam kawasan tadahan itu. Ini telah menyebabkan kehilangan hasil yang besar kepada rakyat Negeri Kedah.

Ironinya, Syarikat Air Darul Aman (SADA), operator air terawat milik Kerajaan Kedah perlu membayar tiga sen bagi setiap liter air yang diabstrak daripada mana-mana sumber air di dalam negeri itu kepada Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) bagi menampung kos pemuliharaan sumber air yang ditanggung oleh Kerajaan Negeri.

Mengikut prinsip riparian yang digunapakai di peringkat antarabangsa, had pengabstrakan atau penggunaan air daripada sesuatu sumber yang mengalir merentas sempadan negeri atau negara adalah mengikut keluasan kawasan lembangan sungai yang berada di dalam wilayah negeri atau negara berkenaan.

Selain itu, air mentah yang diabstrak daripada sumber atau sungai itu juga hanya boleh digunakan dalam kawasan di mana ia dilalui dan tidak boleh untuk kegunaan di luar wilayah itu.

Dilihat dalam konteks Pulau Pinang, ia hanya dilalui lima peratus sahaja daripada aliran Sungai Muda.

Secara keseluruhan, lebih 80 peratus daripada bekalan air ke seluruh Negeri Pulau Pinang (bukan Seberang Perai sahaja) adalah bersumber dari Sungai Muda.

Kerajaan Pulau Pinang bukan sahaja enggan membayar malah telah melakukan pelbagai provokasi yang bertali arus terhadap Kedah.

Selain kenyataan media sama ada daripada PBAPP mahupun pemimpin Kerajaan Pulau Pinang sendiri, di laman media sosial PBAPP mereka berkempen ‘Save Ulu Muda’ yang kononnya untuk ‘menyelamatkan’ kawasan tadahan itu daripada aktiviti yang boleh menjejaskan alam sekitar oleh kerajaan ataupun mana-mana pihak di Negeri Kedah.

Kumpulan dan individu yang berselindung di sebalik gelaran pencinta alam juga aktif melemparkan tuduhan terhadap Kerajaan Negeri Kedah yang kononnya telah menjejaskan alam sekitar Ulu Muda dengan kelulusan pembalakan dan sebagainya.

Ini termasuklah tuduhan kumpulan dikenali sebagai Rimba Watch baru-baru ini walhal aktiviti pembalakan yang dijadikan subjek adalah diluluskan oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, sebuah agensi di bawah Kerajaan Persekutuan.

Pada tahun 2021, Pulau Pinang mempertikaikan projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang dicurigai akan menjejaskan bekalan air di negeri itu.

Untuk projek KXP, Kerajaan telah menetapkan langkah-langkah mitigasi yang wajib dipatuhi bagi menjamin tidak berlaku pencemaran terhadap aliran sungai.

Ini termasuk dalam pengurusan timbunan tanah, simen serta sisa-sisa sedimen lain yang kesemuanya berpandukan Best Management Practices (BMPs).

Mengikut garis panduan, zon penampan minimum bagi projek pembinaan lapangan terbang itu dengan tebing sungai ialah sejauh 50 meter, namun Menteri Besar Kedah telah ‘bermurah hati’ menambah jarak itu kepada 500 meter.

Bagaimanapun bagi orang yang bermata langau, mereka sengaja tidak mahu melibat kebaikan melainkan keburukan dan kebusukan semata-mata.

Pulau Pinang yang menghadapi isu bekalan air terawat semakin kritikal akibat kegagalan menguruskan sumber air di dalam negeri, cuba mengalih perhatian dengan cadangan ini meskipun dengan melanggar adab dan tatasusila berjiran.

Isu terbesar di sebalik idea yang tidak masuk akal ini ialah hal kedaulatan. Ulu Muda adalah wilayah di dalam Negeri Kedah – sebuah pemerintahan berdaulat Sultan Kedah.

Justeru cadangan untuk diserahkan sebuah kawasan di dalam kedaulatan yang sah oleh satu pihak kepada mana-mana pihak termasuk Kerajaan Persekutuan adalah satu perbuatan yang biadab dan tidak menghormati Sultan Kedah. No doubt!

Apabila Menteri Besar Kedah menyebut “langkah mayat saya dulu”, itu adalah amaran sekali gus satu penzahiran tanggungjawab beliau selaku pemimpin Kerajaan Negeri untuk mempertahankan kedaulatan pemerintah dan rakyat Kedah.

Amaran itu adalah wajar untuk membalas keangkuhan pemimpin Kerajaan Pulau Pinang sejak dahulu hingga sekarang.

Mereka bukan sahaja enggan membayar malah tidak pernah berasa malu untuk mempersoalkan, membantah serta mencetuskan kacau ganggu terhadap hak-hak Kerajaan Negeri Kedah untuk rakyat.

Namun kali ini, mereka benar-benar telah melampaui batas! – HARAKAHDAILY 5/2/2024

* Penulis ialah Setiausaha Akhbar kepada YAB Menteri Besar Kedah –

Ulasan