Pemain tengah Liverpool, Ryan Gravenberch (kiri) menerima rawatan kerana cedera ketika menentang Chelsea pada final Piala FA Inggeris di Wembley Ahad lalu. – Foto AFP
Februari 28, 2024 @ 8:34am
LONDON: Jurgen Klopp mendakwa Liverpool memerlukan "keajaiban" untuk membolehkan pemainnya yang cedera kembali tepat pada masanya dalam usaha mereka memburu empat kejuaraan.
Pasukan kendalian Klopp beraksi tanpa beberapa pemain yang cedera sebelum memenangi Piala Liga Inggeris selepas menang 1-0 ke atas Chelsea pada final di Wembley Ahad lalu.
Namun pemain tengah Liverpool, Ryan Gravenberch menambah masalah krisis kecederaan kelab itu apabila dia diusung keluar pada babak pertama.
Gravenberch akan terlepas sekurang-kurangnya dua perlawanan, bermula dengan aksi pusingan kelima Piala FA Inggeris menentang Southampton di Anfield awal pagi esok.
DISYORKAN UNTUK ANDA
Wataru Endo turut diragui bagi kunjungan kelab Liga Kejuaraan, Southampton selepas dia meninggalkan Wembley dengan bertongkat dan memakai but pelindung.
Ini menyebabkan Klopp kini tidak mempunyai 13 pemain pasukan utama, termasuk Mohamed Salah, Darwin Nunez dan Dominik Szoboszlai, ketika The Reds cuba untuk menokok kejuaraan Liga Perdana Inggeris, Piala FA dan Liga Europa kepada trofi kejuaraan hujung minggu lalu.
"Kami memerlukan keajaiban dengan beberapa pemain. Saya tidak mahu mengetepikan mereka terlalu lama," kata Klopp kepada wartawan lewat malam tadi.
"Tetapi ia datang dan pergi dengan ramai pemain yang tidak boleh beraksi pada final: Darwin, Mo, Dom - kami perlu melihat apa yang mereka boleh lakukan (pada Selasa).
"Dalam dunia yang ideal anda akan fikirkan mengenai perkara ini tetapi jelas kami tidak hidup dalam dunia yang ideal jadi kami akan lihat apabila pemain tiba dan mereka diperiksa."
Klopp dijangka mempertaruhkan beberapa pemain lebih muda yang membuat impak di Wembley, dengan dua pemain berusia 19 tahun Bobby Clark dan James McConnell dijangka bermula menentang The Saints. – AFP
Ulasan
Catat Ulasan