Mahkamah Sivil tidak menghukum dengan kaedah takzir

Mahkamah Sivil tidak menghukum dengan kaedah takzir
February 13, 2024

Share
Shehdi Hazrik Shamsudin


KUALA LUMPUR: Mahkamah jenayah sivil tidak menghukum dengan kaedah hukuman takzir kerana mempunyai perbezaan dalam pembuktian, keterangan dan sabitan.

Penganalisis politik, Shehdi Hazrik Shamsudin berkata, banyak beza antara sivil dan takzir, dan beliau menekankan tiga perbezaan sebagaimana disebut peguam-peguam syarie.


“Pertama hakim-hakim Mahkamah Sivil atau Persekutuan tidak dilatih dalam bidang penghukuman takzir kerana terikat dengan penafsiran sendiri dalam undang-undang konvensional.

“Jika mahu dilihat sebagai takzir maka perlunya kepada pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan, kerana maksud jenayah dalam hukum syarak dan sivil mempunyai pengertian yang sangat berbeza,” katanya.

Menurutnya, sebagai contoh di Mahkamah Sivil, satu perbuatan akan jadi jenayah jika ia menyalahi undang-undang yang dibuat oleh pemerintah.

“Namun, ia berbeza bagi pengertian jenayah bagi hukum syarak di mana undang-undang syariah adalah berdasarkan perbuatan yang dilarang Allah SWT,” kongsinya dalam satu kenyataan, hari ini.

“Kedua, pertimbangan hukuman bagi mahkamah sivil juga akan jadi berbeza berbanding hukum syarak.

“Contohnya, undang-undang sivil meletakkan kesalahan judi itu apabila didapati seseorang itu berjudi di tempat yang tak dilesenkan.

“Namun, bagi hukum syarak, judi dilarang sama sekali tidak kiralah kesalahan itu dibuat di tempat yang berlesen atau tidak,” jelasnya.

Begitu juga dengan kesalahan zina, katanya lagi, mengikut undang-undang sivil, bagi individu berumur 16 tahun dan ke atas ia tidak dikira sebagai kesalahan jika ia dibuat atas kerelaan hati, jika terpaksa baru dikira salah.

“Sementara dalam syariah, zina sama ada rela atau tidak, tetap menjadi satu kesalahan,” terang beliau.

“Ketiga, berdasarkan prinsip hukuman dalam Islam atau takzir, ia dibuat bukanlah untuk mendera, sebaliknya mendidik di samping beri amaran kepada umat Islam agar jauhkan diri perkara yang dilarang oleh Allah SWT

“Sebab itu ada perbezaan dalam melaksanakan hukum sebatan syariah jauh berbeza dengan sebatan sivil. Syarat sebatan syariah tidak boleh mencederakan pesalah.

“Perbezaan jelas ketara dari segi kaedah hayunannya agak perlahan seolah-olah buku yang diletakkan di bawah ketiak tidak boleh jatuh semasa hayunan dibuat.

“Dari segi saiz rotan yang digunakan juga agak berbeza bagi sebatan syariah ukur lilit rotan yang digunakan agak kecil berbanding ukur lilit rotan sebatan sivil.

“Oleh sebab itu, 100 kali sebatan syariah masih belum menyamai dengan 1 kali sebatan Sivil,” jelas beliau lagi.

Beliau menyatakan, pelaksanaan sebatan berbeza, yang mana pesalah takzir dikenakan pakaian yang menutupi anggota badan termasuklah anggota badan yang akan disebat, manakala sebatan sivil anggota badan yang akan disebat dibiarkan terdedah dan ini jelas lebih mengaibkan pesalah.

“Sejajar dengan falsafah hukuman dalam Islam yang mahu mendidik, maka pindaan bagi Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 perlu diperkasakan.

“Pemerkasaan Mahkamah Syariah ini penting bagi mengelakkan berulangnya kes jenayah syariah seperti pertuduhan terhadap Iki Putra yang sehingga kini bebas daripada pertuduhan liwat,” katanya.

Beliau mengimbas kes Iki Putra yang sebelum ini mencabar kesahihan enakmen jenayah syariah dengan mendakwa negeri atau Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa untuk menggubal dan membicarakan kes jenayah liwat, namun ia tidak dibawa pula ke Mahkamah Sivil dan akhirnya lelaki itu terlepas daripada kedua-dua Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah .

“Kita menyaksikan Mahkamah Syariah dicabar dan terus dicabar oleh golongan liberal, namun masih tidak ada tindakan dari pihak-pihak yang berkuasa.

“Di manakah kesedaran pemimpin-pemimpin kerajaan yang beragama Islam?..Peliharalah (Islam)!” katanya. – HARAKAHDAILY 12/2/2024

Ulasan