Nilai Ringgit jatuh, kos ubat-ubatan turut meningkat

Nilai Ringgit jatuh, kos ubat-ubatan turut meningkat
February 27, 2024



KUALA LUMPUR: Kejatuhan nilai Ringgit yang berlaku sekarang akan memberi kesan kepada harga ubat-ubatan import, demikian kata Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat)

Menurut beliau, berdasarkan laporan media, ubat daripada pengeluar-pengeluar Amerika Syarikat dan negara pembekal lain dijangka akan naikkan antara lima hingga 10 peratus.

Katanya, walaupun Kementerian Kesihatan telah memaklumkan bahawa mereka mempunyai sistem lindung nilai dengan membeli stok lebih awal dengan harga yang lebih rendah, namun kesannya akan melanda pihak swasta.

“Sudah tentu ia akan memberi kesan kepada rakyat B40 dan M40. Walaupun mereka mempunyai alternatif pergi ke klinik kerajaan. Tetapi sebahagiannya tidak mampu untuk menunggu lama di klinik kerajaan. Mereka pergi ke swasta dan akan memberikan impak yang sangat tidak baik,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa mencelah ketika Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainuddin sedang berucap membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, Parlimen di sini hari ini.

Sementara itu Hamzah dalam reaksinya kepada celahan tersebut berkata, pihak Kerajaan Madani tidak perlu marah sekiranya rakyat melabelkan kerajaan mereka itu sebagai kerajaan gagal atas perkara yang berlaku.

“Inilah dia masalah kita yang ada. Sebab itu jangan marahkan rakyat jika rakyat mengatakan Kerajaan Madani ini kerajaan yang gagal kerana tindak tanduk kerajaan itu. Jangan salahkan orang lain,” ujarnya.

Tambah beliau, bermula Januari lalu bil utiliti air dan elektrik juga telah naik sementara Cukai Barangan Bernilai Rendah (LVGT) 10 peratus turut telah dikuatkuasakan.

Katanya, dalam masa tiga hari lagi bermula 1 Mac, cukai jualan dan perkhidmatan (SST) pula naik daripada enam kepada lapan peratus.

Selain itu, kata Hamzah, Cukai Perkhidmatan Digital naik daripada enam kepada lapan peratus dan Cukai Barangan Bernilai Tinggi sebanyak 10 peratus pula akan dikuatkuasakan bermula Mei 2024.

“Apa nak jadi ni? Kalau semua sudah naik, harga rumah juga melonjak kerana harga bahan binaan naik, ini menyebabkan semakin sukar untuk rakyat memiliki rumah sendiri,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 27/2/2024

Ulasan