Penduduk Palestin serbu pantai Gaza selepas pesawat gugur bantuan




Penduduk Palestin serbu pantai Gaza selepas pesawat gugur bantuan
Februari 28, 2024 @ 3:51pm

GAZA: Beribu-ribu rakyat Palestin berkumpul di pantai di selatan Semenanjung Gaza pada Selasa selepas pesawat menggugurkan bantuan makanan di wilayah terkepung itu.

Walaupun ada barangan makanan itu jatuh ke laut penduduk tetap berusaha mendapatkannya dan ada yang menggunakan bot kecil, lapor Agensi Anadolu.

Kira-kira 2.3 juta penduduk Semenanjung Gaza kini sedang berdepan krisis kemanusiaan yang teruk.

Memetik sumber yang tidak didedahkan, program bual bicara 'Al Qahera Al Youm' yang dikenali kerana hubungan baik dengan pihak berkuasa Mesir melaporkan pada awal hari ini bahawa sebanyak 45 tan bantuan kemanusiaan Mesir digugurkan di kawasan utara dan tengah Semenanjung Gaza.
DISYORKAN UNTUK ANDA










Bantuan kemanusiaan digugurkan dari udara Aid di rafah, selatan Semenanjung Gaza. - Foto REUTERS

Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Jordan turut serta dalam misi itu.

Konflik Israel-Hamas mengakibatkan penduduk Gaza kini di ambang kebuluran akibat kekurangan makanan, air, ubat-ubatan dan bahan api.

Kira-kira dua juta rakyat Palestin di wilayah itu kini turut kehilangan tempat tinggal, selepas berada di bawah kepungan Israel selama 17 tahun.

Peningkatan kekurangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak serta wanita hamil dan menyusu di Semenanjung Gaza menimbulkan ancaman serius kepada kesihatan mereka, menurut amaran Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pada 19 Februari.

Serangan berterusan Israel di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober lalu membunuh hampir 30,000 penduduk Palestin dan menyebabkan kemusnahan besar-besaran serta kekurangan barang keperluan. - BERNAMA-ANADOLU

Ulasan