Pengambilan suplemen herba dan kesihatan buah pinggang

Pengambilan suplemen herba dan kesihatan buah pinggang
February 3, 2024

Dr Suhazeli Abdullah

Pakar perubatan, Dr Suhazeli Abdullah memberikan nasihat itu dan merungkai salah faham terhadap produk kesihatan herba yang didakwa tidak akan merosakkan buah pinggang kerana dari sumber semulajadi.

“Jangan terus dakwa kalau ianya makanan alami, selamat untuk dimakan. Lebih-lebih lagi suplemen itu didakwa mampu merawat penyakit. Makmal mana yang pernah sahkan dan kajian atas manusia dan negara mana yang buktikan?” soalnya.

Beliau memetik fakta peringatan yang dikeluarkan oleh Yayasan Buah Pinggang (NKF) mengenai kerosakan buah pinggang akibat herba untuk menjadi panduan dalam pengambilan produk berkaitan.

Menurut laporan itu, suplemen herba mempunyai bahan aktif tersendiri yang boleh memberikan kesan serta reaksi tubuh di mana kesan ini boleh terjadi kepada semua orang sama ada sudah berpenyakit buah pinggang atau sihat afiat.

Terang NKF, Badan Berkuasa Makanan dan Ubat (FDA) tidak mengawal suplemen herba untuk dos, kandungan, atau ketulenan sesuatu suplemen, sedangkan beberapa suplemen herba mempunyai asid aristolochic, yang berbahaya kepada buah pinggang.

“Sesetengah suplemen herba mungkin mempunyai logam berat, seperti plumbum, merkuri, kadmium, arsenik, dan chromium. Logam berat tersebut boleh penyebabkan toksik kepada badan.

“Terlalu sedikit kajian yang menyokong suplemen herba mempunyai manfaat kepada pesakit buah pinggang. Suplemen herba boleh berinteraksi dengan ubat-ubatan moden sama ada ianya boleh mengurangkan kesan atau meningkat kesan ubatan tersebut bertindak dalam badan.

“Contohnya herba dari St. Johns Wort, echinacea, ginkgo, bawang putih, ginseng, halia, dan blue cohosh,” ujar NKF memberikan panduan tersebut.

Dua jenis mineral yang dinasihatkan bagi pesakit buah pinggang tidak mengambilnya dalam kuantiti banyak adalah pemakanan tinggi potassium dan fosforus kerana boleh mendatangkan kesan buruk kepada tubuh pesakit.

Ini menurut NKF, kerana mineral ini tidak dapat dikumuhkan sebaiknya melalui buah pinggang yang sudah rosak di mana antara makanan tinggi pottasium adalah peria, serai, kunyit, daun bawang, betik dan beberapa lagi.

Terdapat juga menurut nasihat itu, sesetengah produk yang dicampur dengan bahan terlarang steroid, sildenafil, sibutramin dan beberapa bahan lain lagi di mana boleh membahayakan jika tiada pemantauan atau diberikan tidak mengikut sukatan dos yang terkhusus.

“Satu kajian yang termuat dalam New England Journal of Medicine melaporkan terdapat 23,000 kes kecemasan setiap tahun akibat kesan sampingan dari suplemen di Amerika Syarikat.

“Fakta ini amat menakutkan kerana tiada sistem pemantauan khusus dari pihak pengeluar produk mengenai kesalamatan dan kualiti produk mereka. Pengeluar hanya suka menaikkan testimoni yang indah sahaja, tetapi testimoni negatif tidak diambil perhatian.

“Di antara produk suplemen herba yang banyak disita adalah ubat rangsangan seksual, ubat tambah tenaga, ubat bina badan supaya nampak sado, ubat kecantikan dan ubat penyakit kronik seperti darah tinggi, kencing manis serta sakit jantung.

“Suplemen herba berkenaan tidak melepasi ujian keselamatan, ujian kualiti dan keberkesanan pun. Pesakit mungkin kelihatan gagah seperti ahli gusti buat seketika tetapi jangkamasa panjang akan merana,” ujar NKF.

Oleh itu kata Dr Suhazeli, kerana tiada mekanisma khusus untuk pihak berkenaan membuat pemeriksaan tahap keselamatan, maka semua pihak hanya boleh lihat kerosakan demi kerosakan.

Jelas beliau, ianya berbeza dengan ubat-ubatan hospital di mana walaupun sudah melepasi tahap kajian atas haiwan dan manusia bahawa selamat disahgunakan, sistem pemantauan dan kajian tetap dilanjutkan.

“Oleh yang demikian kita akan memerhatikan peristiwa penarikan balik produk-produk tertentu seperti kes produk untuk darah tinggi baru-baru ini. Inilah ketelitian dan ketelusan yang dibina oleh pihak berwajib bagi memastikan segala ubatan adalah terbaik diberikan kepada rakyat.

“Memang terdapat ujian berkala kepada produk-produk herba yang dilakukan oleh pihak berwajib, tetapi ujikaji tersebut tertakluk pula kepada aduan yang dilaporkan atau pengsampelan secara rawak terhadap beribu-ribu produk di pasaran.

“Sekali lagi seruan saya agar berhati-hati dengan produk tersebut dan jangan mudah terpengaruh dengan janji manis serta fakta yang tidak tepat dari jurujual,” nasihatnya. – HARAKAHDAILY 3/2/2024

Ulasan