Penganjur Choii Underground Music Tour berhadapan tindakan

Mejar (B) Mansor Zakaria

Penganjur Choii Underground Music Tour berhadapan tindakan
February 26, 2024

ALOR SETAR: Penganjur Choii Underground Music Tour Kedah 2.0 bakal berhadapan dengan tindakan undang-undang kerajaan negeri kerana mengadakan konsert tanpa permit dan kelulusan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan, Mejar (B) Mansor Zakaria berkata, penganjuran konsert tanpa kebenaran mana-mana agensi kerajaan negeri adalah satu pelanggaran syarat yang sangat serius oleh pihak penganjur.

“Kita tidak memberi kelulusan atau permit kepada penganjur untuk mengadakan konsert, yang dibenarkan hanya karnival jualan dan acara yang mengikut garis panduan yang ditetapkan kerajaan negeri sahaja.

“Sedangkan dalam surat permohonan penganjur juga tidak dinyatakan berkenaan cadangan konsert atau pertunjukan pentas seperti itu,” jelas beliau dalam satu kenyataan.

Terdahulu, konsert Choii Underground Music Tour Kedah 2.0 berlangsung di Taman Jubli Emas, Alor Setar pada 24 Februari lalu telah mendapat kecaman dari pelbagai pihak.

Kebanyakannya mempersoalkan bagaimana konsert yang diadakan pada malam Nisfu Syaaban itu telah mendapat kelulusan kerajaan negeri.

Justeru kata Mansor, penganjur akan dipanggil untuk memberi penjelasan dan kerajaan negeri akan memutuskan tindakan undang-undang dalam tempoh terdekat.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa mana-mana pihak yang melanggar syarat akan disenarai hitamkan daripada terlibat dengan sebarang program di Kedah pada masa akan datang.

“Mana-mana pihak yang melanggar syarat setelah diberikan kelulusan untuk menganjurkan sesuatu acara akan disenarai hitamkan.

“Mereka tidak akan lagi diberi kebenaran untuk terlibat dalam apa jua program di negeri ini lagi,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/2/2024

Ulasan