Pentadbiran Biden bertanggungjawab kematian tentera AS - Hamas
AGENSI - Februari 27, 2024 @ 3:57pm
Orang ramai memperingati kematian juruterbang tentera AS, Aaron Bushnell, yang meninggal dunia selepas membakar dirinya di hadapan Kedutaan Israel di Washington pada 25 Februari dalam tindakan nyata membantah perang di Gaza. - Foto REUTERS
WASHINGTON: Kumpulan pejuang Palestin Hamas menegaskan Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden bertanggungjawab sepenuhnya atas kematian seorang anggota tentera AS yang membakar dirinya di hadapan Kedutaan Israel di Washington, kelmarin.
"Pentadbiran Joe Biden bertanggungjawab penuh atas kematian juruterbang tentera AS, Aaron Bushnell berikutan dasar negara itu menyokong rejim Zionis dalam pembantaian dan pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin.
"Anggota tentera berkenaan menggadaikan nyawanya dan mendakwa dirinya tidak lagi akan terbabit dalam pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza," kata Hamas dalam satu kenyataan.
Hamas turut mengucapkan takziah dan solidariti penuh terhadap keluarga dan rakan-rakan Aaron Bushnell dan mereka menganggap anggota tentera berkenaan 'kekal abadi' dalam ingatan rakyat Palestin.
DISYORKAN UNTUK ANDA
Anggota tentera berkenaan meninggal dunia selepas membakar dirinya pada petang Ahad di hadapan Kedutaan Israel kerana membantah perang berterusan Israel di Semenanjung Gaza yang dikepung dan mendapat sokongan AS.
"Saya tidak akan lagi terbabit dalam pembunuhan beramai-ramai. Saya akan terbabit dalam tindakan protes yang melampau, tetapi jika mahu dibandingkan dengan apa yang dihadapi rakyat Palestin, ia tidak melampau sama sekali.
"Inilah yang diputuskan oleh pemimpin kita bahawa peperangan berkenaan sebagai perkara biasa," kata lelaki itu yang memakai pakaian tentera, dalam video yang disiarkannya di internet.
Aaron Bushnell kemudian menyiram dirinya dalam cecair jernih dan membakar dirinya, sebelum menjerit 'Bebaskan Palestin' beberapa kali.
Israel melancarkan serangan maut ke atas Gaza berikutan serangan 7 Oktober oleh kumpulan Palestin Hamas, membunuh sekurang-kurangnya 27,365 rakyat Palestin dan mencederakan 66,630 yang lain, manakala hampir 1,200 warga Israel dipercayai terbunuh dalam serangan Hamas.
Konflik berkenaan mendorong 85 peratus penduduk wilayah itu ke dalam perpindahan dalaman ketika Palestin berdepan situasi kekurangan bekalan makanan, air bersih dan ubat-ubatan, manakala kebanyakan infrastruktur wilayah terkepung itu rosak atau musnah.
Israel didakwa melakukan pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa, yang dalam keputusan sementara pada Januari mengarahkan Tel Aviv menghentikan tindakan pembunuhan beramai-ramai dan mengambil langkah-langkah untuk menjamin bantuan kemanusiaan diberikan kepada orang awam di Gaza.
Israel didakwa melakukan pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa, yang dalam keputusan sementara pada Januari mengarahkan Tel Aviv menghentikan tindakan pembunuhan beramai-ramai dan mengambil langkah-langkah untuk menjamin bantuan kemanusiaan diberikan kepada orang awam di Gaza.
Ulasan
Catat Ulasan