Risiko kerjasama dengan DAP, biar Umno pula rasakan


Risiko kerjasama dengan DAP, biar Umno pula rasakan
February 13, 2024

ARAU: Umno akan mengalami bebanan apabila menjalinkan kerjasama dengan DAP, sebagaimana PAS alami sebelum ini.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin berkata, pemimpin DAP sering kali membuat kenyataan yang menimbulkan ketidakselesaan dalam kalangan umat Islam.

“Kita sudah ada pengalaman dengan DAP dan mereka bukanlah rakan kerjasama yang baik untuk ke arah kebaikan dan kita tolak terus sebarang kerjasama dengan DAP ini.

“Apabila kita (PAS) tolak, Umno pula pergi ambil (bekerjasama) dan rasa sendirilah, dasar DAP dan Umno juga sudah terang-terang tidak sama,” katanya.

Terkini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mencadangkan supaya Kampung Baru Cina di Selangor mendapat status Tapak Warisan Dunia daripada Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Terdahulu, Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham juga menyarankan agar kerajaan melantik pakar daripada masyarakat bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk Menggubal Undang-Undang Islam, yang ditubuhkan awal bulan ini.

Beliau bagaimanapun, memohon maaf atas cadangannya itu dan mendakwa tidak berniat masuk campur dalam hal ehwal agama Islam.

Terdahulu daripada itu, Pengerusi DAP Kuala Lumpur, Tan Kok Wai mencadangkan supaya kerajaan memulakan pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di ibu negara.

Manakala, veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang pula pernah menyentuh kemungkinan orang bukan Melayu dilantik sebagai Perdana Menteri dan setakat ini, telah diambil keterangan oleh polis.

Justeru dengan pelbagai kelantangan DAP ini, Tuan Guru menasihati agar Umno kembali ke pangkal jalan dengan menolak DAP dan kembali semula bersama menghidupkan perpaduan ummah bersama PAS serta parti Bersatu.

“Apa yang menghairankan Umno boleh tolak Bersatu dan boleh pula menerima DAP. Sekarang rasakanlah bagaimana.

“Pemimpin DAP juga dilihat banyak mengeluarkan kenyataan yang dianggap mempunyai unsur 3R iaitu raja, agama dan kaum, namun tidak pernah dikenakan tindakan,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/2/2024

Ulasan