Sangkal dakwaaan hubungan Presiden PAS-Bersatu renggang


Sangkal dakwaaan hubungan Presiden PAS-Bersatu renggang
February 2, 2024

KUALA LUMPUR: Desas-desus mendakwa hubungan antara Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dikatakan ‘dingin’ sehingga menjejaskan kelangsungan PERIKATAN NASIONAL (PN) adalah tidak benar sama sekali.

Mantan Ketua Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri Ke-8, Prof Datuk Dr Marzuki Mohamad berkata, laporan sebuah media tempatan yang merujuk bahawa ‘sumber’nya telah mendakwa kedua-dua pemimpin tersebut sudah lama tidak berjumpa.

Laporan media mendakwa, ia tercetus sejak selepas Muktamar PAS di Shah Alam tahun lalu selain Muhyiddin dikatakan tidak turun berkempen di Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, manakala Tuan Guru dinyatakan tidak hadir mesyuarat PN.
Marzuki Mohamad

“Tak betullah tu. Selepas Muktamar PAS, hanya satu mesyuarat PN diadakan. Tuan Guru Haji Hadi tak hadir kerana sedang menjalani rawatan. Tetapi sebelum itu pun Tan Sri Muhyiddin ada berjumpa pimpinan kanan PAS termasuk Tuan Guru Haji Hadi.

“Tan Sri Muhyiddin pun turun berkempen di Kemaman. Puncanya kerana ‘sumber’ tu kata PAS mahu Dato’ Seri Dr (Ahmad) Samsuri (Mokhtar) (atau Dr Sam) jadi calon Perdana Menteri dan Tan Sri Muhyiddin dikatakan penghalangnya.

“Tak silap saya Tan Sri Muhyiddin-lah semasa kempen di Kemaman yang mula-mula sekali cakap Dr Sam berpotensi jadi PM Malaysia di masa hadapan. Kenyataan ini dilapor secara meluas oleh media.

“(Itulah) ‘sumber’ itu pun. Janganlah cakap yang bukan-bukan kepada media semata-mata nak renggangkan hubungan akrab antara Bersatu dan PAS,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/2/2024

Ulasan