Semua Ahli Parlimen Islam perlu sokong pindaan Perlembagaan

Semua Ahli Parlimen Islam perlu sokong pindaan Perlembagaan
February 13, 2024

Mohd Amar dalam sidang media selepas Sidang Meja Bulat Khas di Pejabat Agung PAS, di Kuala Lumpur pada hari ini, 13 Feb 2024.

KUALA LUMPUR: Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda bagi memantap dan memperkasakan Undang-undang Syariah dan Mahkamah Syariah yakni dengan sokongan majoriti daripada Ahli-ahli Parlimen.

Naib Presiden PAS, Dato’ Sri D’Raja Mohd Amar Abdullah memberitahu, untuk menaiktaraf tersebut, pindaan di peringkat Persekutuan itu akan melibatkan Akta 355 yang pernah diusahakan PAS menerusi usul RUU Persendirian.

Menurut beliau, pindaan tersebut melibatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah yang dalam banyak kes tertentu dibandingkan orang ianya lebih rendah daripada kesalahan dan hukuman di Mahkamah Sivil dalam negara ini.

“Lebih rendah ini sebab bidang kuasa dia yang terhad. Tak boleh melebihi penjara berapa tahun, denda berapa. Untuk membolehkan pindaan ini dibuat, makna kena ada sokongan majoriti daripada Ahli-ahli Parlimen.

“Kalau kita bergantung pada satu parti saja memang tak cukuplah sekarang ini. Sebab itulah usaha ini mesti datang daripada semua Ahli Parlimen,” ujar beliau yang juga Yang Dipertua DUN Kelantan.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Sidang Meja Bulat Khas di Pejabat Agung PAS, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Dalam pada itu, ujar Mohd Amar lagi, berdasarkan pengalaman Kelantan ketika mengajukan pelaksanaan undang-undang hudud dulu, negeri itu menubuhkan satu jawatankuasa dan perbincangan pada waktu itu menetapkan beberapa perkara perlu dibuat.

“Selain pada akta Mahkamah Syariah ni dipinda, kita juga perlu buat pindaan kepada Perkara 76 rasanya dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu memberi ruang

dan kuasa kepada negeri untuk membuat undang-undang dia sendiri,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau mengajak Ahli-ahli Parlimen beragama Islam terutamanya supaya bersama dalam usaha ke arah memantap dan memperkasakan Undang-undang Syariah dan Mahkamah Syariah tersebut.

Dalam pada itu, Idris yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai pula menyangkal bahawa tohmahan kononnya DUN Kelantan melakukan kesilapan dalam kes Enakmen Jenayah Syariah Kelantan menjadi batal dan tidak sah oleh Mahkamah Persekutuan.

Beliau menegaskan, perkara itu juga termasuk ke atas Wilayah Persekutuan contohnya di mana undang-undang serupa juga dibuat oleh Parlimen yang akan terkesan oleh keputusan Mahkamah Persekutuan di Putrajaya, pada Jumaat lalu.

“Ini sebab itu saya katakan ialah merupakan rentas politik, rentas negeri. Yang pentingnya ialah untuk ini ialah isu bersama pada kita (umat Islam),” katanya. – HARAKAHDAILY 13/2/2024

Ulasan