Semua negeri ada masalah infrastruktur bekalan air

Semua negeri ada masalah infrastruktur bekalan air
February 7, 2024


Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor

ALOR SETAR: Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengingatkan kepada mana-mana pihak untuk tidak mendakwa keadaan bekalan air di negeri ini sangat kritikal dan digambarkan terlalu teruk.

Menurut beliau, semua negeri menghadapi masalah bekalan air apabila berlakunya kemarau termasuk negeri termaju iaitu Selangor, tetapi Kedah menghantar bekalan dengan lori ke setiap kediaman pengguna yang terjejas.

Katanya, masalah infrastruktur perbekalan air dihadapi oleh semua negeri, di mana Kedah sedang bergerak ke arah yang betul dalam usaha menyelesaikan keadaan tersebut pada masa ini.

“Ada negeri lain, bil-bil elektrik untuk buka pam air pun tak boleh bayar, tahu? Ada ramai bagi tahu saya kelmarin hutang puluh-puluh juta bil untuk operasi LRA. Kita dak, kita pay master yang paling baik sekali di Malaysia.

“Untuk build elektrik bagi bekalan air, walaupun dia makan sampai RM180 juta bil elektrik saja, 60 peratus daripada kos operasi bekalan air ini ialah bil elektrik. Tapi kita bayar tak pernah tinggal, tak pernah ada hutang. Itu baiknya kita menguruskan bekalan air,” ujarnya.

Beliau memohon Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan kelulusan-kelulusan yang berkaitan projek-projek baru LRA termasuk masalah dihadapi oleh para kontraktor seperti nyatakan olehnya.

Masalah dihadapi itu menurutnya, melambatkan kontraktor dalam melaksanakan pembinaan menurut jadual kerana kelulusan permohonan berkaitan juga tertangguh oleh Kerajaan Persekutuan.

Turut dijawabnya isu dibangkitkan oleh sebuah badan bukan kerajaan (NGO) mengenai mendapan sedimen hingga menyebabkan Empangan Muda menjadi cetek dan menjejaskan pengaliran air Sungai Muda.

“Empangan Muda itu usia dia dah lebih dah 50 tahun. Semua takungan-takungan air di seluruh dunia akan ada sedimen. Termasuk ayaq dalam kolah di rumah kita. Termasuk kolam masjid. Mesti ada sedimen. Setara tak ada hutan, tak ada apa kan noh.

“Jadi itu benda ni jadi buat isu kononnya kita tebang balak berleluasa, berlaku mendapan di empangan. Semua tak betul. YB Nik Nazmi (Nik Ahmad – Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam) pun ada buat statement.

“Dia kata pemeriksaan yang setakat hari itulah tak ada. Saya kata pilah siasat lagi. Memang tak ada. Takkan ada (pembalakan),” ujarnya pada sidang media selepas Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

Beliau berharap pihak-pihak berkenaan tidak bermain politik, bahkan sepatutnya mereka menumpukan banyak isu yang lebih patut dan utama diperkatakan melibatkan pentadbiran Kerajaan Madani. – HARAKAHDAILY 7/2/2024

Ulasan