Sultan Ibrahim titah tingkatkan kecekapan di semua peringkat

Sultan Ibrahim titah tingkatkan kecekapan di semua peringkat
February 26, 2024



KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim ibni Sultan Iskandar bertitah supaya akta baharu lebih menyeluruh diperkenalkan berkaitan langkah pembaharuan bagi meningkat urus tadbir, pengurusan kewangan awam supaya lebih telus dan bertanggungjawab.

“Beta juga akan meneliti perbelanjaan kerajaan dan memastikan setiap cadangan perbelanjaan adalah untuk perkara yang betul-betul diperlukan. Beta berharap semasa pemerintahan beta ini kerajaan akan berjaya memperolehi lebihan fiskal setiap tahun.

“Kerajaan juga mesti bersikap tegas bagi membendung ketirisan dan penyelewengan dana awam. Kelemahan urus tadbir ini semua peringkat perlu diperiksa. Termasuk di dalam badan berkanun dan syarikat milik kerajaan serta anak-anak syarikatnya,” titah baginda.

Sultan Ibrahim bertitah demikian di samping Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah dalam Titah Ucapan DiRaja pada Istiadat Pembukaan Penggal Ke-3 Parlimen Ke-5 di Dewan Rakyat, Parlimen, di sini sebentar tadi.

Baginda juga bertitah berharap kerajaan mengambil pendekatan yang proaktif dalam melaksanakan agenda pembaharuan untuk memperkukuhkan daya saing negara sebagai sebuah ekonomi yang mampan sejajar dengan keperluan semasa.

Titah baginda lagi, kerajaan juga perlu menyediakan insentif menarik dan memudahkan segala urusan melalui tadbir urus yang cekap, selain polisi dibuat di peringkat Persekutuan hendaklah disesuaikan dengan keadaan persekitaran di negeri-negeri.

Sultan Ibrahim turut bertitah kepada jentera kerajaan mestilah meningkatkan kecekapan dan mengamal prinsip kerja berintegriti supaya pembangunan ekonomi dapat dicapai dengan jayanya.

“Beta tidak suka dengan sistem yang banyak ‘red tape’. Oleh itu, kecekapan proses kerja, tadbir urus setiap agensi kerajaan mestilah sentiasa dinilai dan ditingkatkan. Agensi penguat kuasa juga hendaklah menjalankan siasatan dengan lebih cekap dan cepat.

“Supaya sesuatu kes itu dapat diselesaikan dengan segera. Semua kes yang telah dibawa ke mahkamah juga mestilah segera diadili supaya kepercayaan rakyat terhadap sistem kehakiman negara sentiasa dipelihara,” titah baginda.

Malaysia titah baginda lagi, perlu terus aktif berperanan dalam memupuk semangat perpaduan dan memacu kemajuan dengan mengambil kira cabaran, geopolitik di perkembangan serantau.

“Malaysia perlu tegas menyuarakan pendirian isu Palestin. Dengan menggesa supaya gencatan senjata segera dilaksanakan dan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza dipercepatkan,” titah baginda.

Sultan Ibrahim turut bertitah amat menghargai taat setia yang telah dicurahkan kepada baginda dan negara oleh semua anggota perkhidmatan awam, angkatan tentera, polis, serta seluruh agensi kerajaan yang telah berkhidmat dengan penuh dedikasi tanpa mengenal penat dan lelah. – HARAKAHDAILY 26/2/2024

Ulasan