Terminator sudah lama beri amaran tentang AI




Terminator sudah lama beri amaran tentang AI
February 14, 2024


MEREKA yang hidup di era 80an dan 90an pasti biasa dengan siri filem Terminator lakonan Arnold Schwarzenegger dan Linda Hamilton.

Siapa yang tidak boleh melupai mengenai filem fiksyen pecah panggung yang memaparkan watak robot berwajah manusia.

Siri filem ini bermula dengan yang pertama, Terminator (1984), sebelum diikuti sekuel pertamanya, Terminator-2 Judgement Day (1991) sebelum muncul siri sekuel yang terdiri daripada Terminator 3- Rise Of The Machine (2003), Terminator Salvation (2009), Terminator Genisys (2015) dan Terminator: Dark Fate (2019).

Dua sekuel terawal diarahkan oleh pengarah filem Titanic, James Cameron dan selepas itu francais filem ini bertukar-tukar pengarah sesuai dengan perkembangan zaman.

Dalam dua siri filem terawal, ia memaparkan bagaimana robot yang dikenali sebagai Terminator (lakonan Arnold Schwarzenegger) dihantar dari masa depan untuk membunuh seorang perempuan bernama Sarah Connor (Linda Hamilton).

Kenapa Sarah perlu dibunuh

Kenapa Sarah perlu dibunuh? Ini adalah kerana Sarah bakal melahirkan seorang anak yang bernama John Connor yang mana pada penghujung abad ke 20, bakal anaknya itu akan memimpin pasukan tentera untuk berperang dengan robot.

Mengapa manusia akan berperang dengan robot pada masa hadapan? Filem itu pada ketika itu menggambarkan bahawa pada masa hadapan manusia akan mencipta robot yang boleh berfikir sendiri dan bertindak sendiri umpama manusia.

Robot-robot yang cerdik dan boleh berfikir seperti manusia ini kemudiannya membentuk satu kekuatan sendiri dan akhirnya mereka melancarkan peperangan ke atas manusia.

Dalam Terminator-2 Judgement Day ada dipaparkan watak Miles Dyson yang merupakan seorang jurutera di syarikat Cyberdyne yang merupakan syarikat kontraktor pertahanan bagi Amerika Syarikat untuk membina robot-robot ini.

Ia adalah hasil kajiannya terhadap sisa Terminator dari sequel pertama. Hasil rekaan Miles Dyson inilah yang dikatakan akan menjadi asas kepada wujudnya robot-robot cerdik yang akan memerangi manusia.

Di akhir filem ini juga dipaparkan usaha mereka untuk membuang bahagian-bahagian robot yang sedang dicipta yang masih belum lengkap itu bersama dengan CPU atau pun otak robot itu ke dalam sebuah pelebur besi.

Dalam filem ini, pelupusan komponen robot itu dipersetujui oleh penciptanya sendiri, Dyson, yang bimbang setelah mengetahui kehancuran yang bakal berlaku pada masa depan akibat ciptaannya itu.

Amaran kemunculan AI

Cerita ini sebenarnya memberi satu amaran kepada kita bahawa akan tiba satu masa akan ada satu teknologi yang direka oleh manusia sendiri yang akan menggantikan fungsi manusia itu sendiri iaitu teknologi kecerdasan pintar (artificial Intelligence atau ringkasnya, AI).

Dalam kekaguman kita menikmati hasil kerja AI yang sangat memudahkan kita pada masa ini, dalam masa yang sama kita juga berdepan dengan ancamannya terhadap peranan kita sebagai manusia.

Seorang rakan yang merupakan pensyarah menyatakan kebimbangannya apabila pelajar-pelajarnya berkemungkinan membuat tugasan yang diberi hanya dengan bertanya kepada aplikasi AI yang banyak di internet.

Itu belum lagi dengan banyak pekerjaan-pekerjaan yang dilakukan oleh manusia diancam oleh AI.

Daripada pengalaman menghadiri satu kursus baru-baru ini, didapati penceramahnya menyatakan bahawa memang ada kemungkinan seorang pembaca berita pada masa akan datang menggunakan watak AI.

Yang pertama kerana kosnya sangat rendah. Bayaran gaji setahun seorang pembaca berita manusia adalah sama dengan kos membina dan menyelenggara tiga watak AI yang dicipta untuk membaca berita.

Malah, pembaca berita AI tidak mengalami keletihan, mengantuk, masalah keluarga, perlu kepada cuti dan sebagainya yang akan mengganggu prestasi tugasnya.

Walaupun selama ini kita biasa melihat sistem elektronik menjawab panggilan telefon yang digunakan oleh syarikat-syarikat besar dalam mengurus panggilan telefon ke organisasi mereka, namun ia masih memerlukan operator manusia yang perlu menyelesaikan masalah pemanggil yang bersifat tidak berstruktur.

Namun sekarang ini, dengan AI tidak mustahil ia dapat menjawab apa sahaja persoalan yang dibangkitkan pemanggil dan menyelesaikan masalah mereka. Jadi, hilanglah peranan jawatan operator oleh manusia.

Sementelah pada masa ini dikatakan sudah ada aplikasi AI yang boleh digunakan untuk mencipta muzik dan lagu.

Ini menjadikan sesiapa sahaja boleh mencipta lagu hanya dengan memasukkan ciri-ciri lagu sebagai arahan kepada aplikasi AI tersebut.

Pada masa ini pun hakikatnya peranan seseorang penterjemah juga sudah semakin tidak diperlukan dengan wujudnya aplikasi-aplikasi penterjemahan.

AI kuasai manusia?

Kalau dahulu kita mungkin boleh berkata bahawa ‘Google translate’ tidak mampu menukar dari Bahasa Melayu kepada Bahasa Inggeris dengan tepat. Malah, hasilnya juga nampak lucu dengan cara ‘direct translation’.

Namun dengan aplikasi AI, terjemahannya adalah sangat tepat dan menepati kaedah terjemahan yang sepatutnya. Jadi adakah masih jawatan ‘penterjemah’ diperlukan sekarang?

Banyak lagi pekerjaan yang memang bakal diambil alih oleh AI pada masa akan datang yang menjadikan peluang pekerjaan kepada manusia semakin mengecil.

Kita juga perlu banyak berdoa agar teknologi ini tidak menjadi terlalu hebat sehingga akhirnya ia menjadikan ramai manusia hilang pekerjaan sehingga menimbulkan masalah sosioekonomi pada masa akan datang.

Ia mungkin memaksa manusia untuk meningkatkan kemahiran dan kecekapan dalam bidang-bidang yang bersifat mengendali atau menguasai AI itu sendiri. Atau manusia perlu mencari bidang-bidang yang tidak boleh dilakukan AI.

Namun, kita bimbang jika sampai satu masa apabila AI sudah lebih berkuasa dari manusia, mungkin manusia pula memainkan peranan sebagai alat kepada AI.

Tidak mustahil yang paling menakutkan untuk berlaku ialah akan wujud peperangan antara manusia dengan robot seperti yang digambarkan dalam siri filem Terminator. Ia sangat mengerikan! – HARAKAHDAILY 14/2/2024

Ulasan