Tuduhan pengganas: Waspada dakwaan organisasi a’bangsa

 


Tuduhan pengganas: Waspada dakwaan organisasi a’bangsa
February 24, 2024


KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat menyifatkan tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dikatakan sebagai pengganas oleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) adalah tidak wajar dan jauh daripada realiti berlaku di lapangan.



Ketuanya, Dato’ Ahmad Yahaya, berkata, beberapa hari lalu tular suatu surat daripada Wisma Putra yang menghalang tiga NGO menyertai Ops Ihsan kerana diklasifikasi sebagai pengganas melalui Pusat Saringan Pengganas (TSC) oleh FBI.

“Walaupun memahami tiada kompromi dalam aspek keselamatan negara, namun kita juga harus berhati-hati dengan sebarang dakwaan yang dibuat organisasi antarabangsa khususnya berkait dengan kategori pengganas.

“Salah satu NGO yang disabitkan sebagai pengganas adalah NGO Persatuan Cinta Syria Malaysia yang ditadbir oleh Ustaz Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman.

“Beliau merupakan adik kepada aktivis Ustaz Nadir Al-Nuri yang merupakan pemimpin utama NGO Cinta Gaza Malaysia selain MyAqsa Defenders,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, pertubuhan HAMAS turut diletakkan sebagai organisasi pengganas antarabangsa (FTOs) oleh kerajaan Amerika Syarikat.

“Apakah kewajaran kumpulan yang mempertahankan dan memberikan bantuan kepada rakyat Palestin yang diseksa selama tujuh dekad ini dianggap sebagai pengganas?,” soalnya.

Justeru, beliau mengharapkan agar Wisma Putra segera melakukan sesuatu tindakan untuk menangani polemik sebegini.

“Hal ini sangat penting bagi membersihkan kumpulan NGO di Malaysia yang sentiasa konsisten membantu rakyat Palestin, bahkan ia penting bagi mempertahankan imej Malaysia daripada tohmahan terlibat dengan aktiviti keganasan,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/2/2024

Ulasan