Tujuh enakmen syariah Kedah menyamai enakmen syariah Kelantan





Tujuh enakmen syariah Kedah menyamai enakmen syariah Kelantan
February 13, 2024


ALOR SETAR: Kerajaan negeri akan mengkaji dan meneliti kesan pengisytiharan pembatalan 16 kesalahan syariah, Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 oleh Mahkamah Persekutuan, Jumaat lalu, susulan tujuh daripadanya mempunyai persamaan enakmen dalam undang-undang syariah Kedah.

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihaknya akan segera menemui Tuanku Sultan Kedah dalam tempoh terdekat bagi menentukan sebarang tindakan lanjut yang bakal dilaksanakan kelak.

“Kita akan kaji kesan perundangan bersabit keputusan Mahkamah Persekutuan dan akan ambil tindakan yang wajar untuk perkukuhkan undang-undang syariah di negeri ini,” katanya di sini.

“Kerajaan negeri akan merujuk Tuanku Sultan Kedah terlebih dahulu bagi menentukan sebarang tindakan lanjut yang bakal diambil nanti,” kata beliau, di sini.

Menurutnya, perkara tersebut adalah perlu memandangkan kesan ke atas pembatalan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 perlu diteliti secara terperinci bagi memastikan ia mengikut laras undang-undang syariah Kedah.

Terdahulu pada Jumaat (9 Feb) lalu, Mahkamah Persekutuan dalam satu keputusan bersejarah mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Keputusan terhadap petisyen dikemukakan peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman itu dibacakan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Enakmen yang yang dibatalkan itu antaranya melibatkan Seksyen 11: Memusnahkan atau mencemarkan tempat ibadat, Seksyen 14: Liwat, Seksyen 16: Persetubuhan dengan mayat, Seksyen 17: Hubungan seksual dengan bukan manusia,Seksyen 31: Gangguan seksual, dan Seksyen 34: Memiliki dokumen palsu, memberikan keterangan, maklumat atau kenyataan palsu.

Ia juga melibatkan Seksyen 36: Apa-apa yang memabukkan, Bahagian 39: Mengurangkan skala, ukuran dan berat dan Seksyen 40: Melaksanakan transaksi yang bertentangan dengan ‘hukum syarak’ (undang-undang syariah)

Selain itu, turut diumumkan sebagai batal dan tidak salah ialah Seksyen 41: Melaksanakan urus niaga melalui riba, Seksyen 42: Penyalahgunaan label dan konotasi halal, Seksyen 43: Menawarkan atau menyediakan perkhidmatan maksiat.

Tidak ketinggalan turut sama tersenarai ialah Seksyen 44: Tindakan persediaan menawarkan atau menyediakan perkhidmatan maksiat, Seksyen 45: Perbuatan maksiat sebagai persediaan,

Turut tersenarai termasuklah Seksyen 47: Perbuatan sumbang mahram,Seksyen 48: Muncikari (lelaki berpakaian wanita atau sebaliknya, bertentangan dengan hukum syarak).

Sementara yang diisytiharkan sah ialah Seksyen 13: Menjual atau memberikan anak kepada bukan Islam atau Muslim yang tercela dari segi moral dan Seksyen 30: Perkataan yang boleh memecahkan keamanan. – HARAKAHDAILY 13/2/2024

Ulasan