'UMNO tuntut hentikan suara sumbang pertikai keputusan Lembaga Pengampunan ke atas Najib'
Oleh Suzalina Halid dan Latifah Arifin - Februari 4, 2024 @ 6:24pm
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, ketika sidang media selepas Perjumpaan khas tertutup bersama Ketua UMNO Bahagian-Bahagian di Dewan Tun Hussein Onn, WTC. NSTP/ASWADI ALIAS
KUALA LUMPUR: UMNO tidak mahu wujudnya lagi suara sumbang yang mempertikaikan keputusan Lembaga Pengampunan ke atas Datuk Seri Najib Razak.
Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata UMNO menuntut semua pihak menghormati keputusan dibuat Lembaga Pengampunan kerana berdasarkan Perlembagaan, ia adalah kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong.
Namun beliau bagaimanapun berkata, semua kepimpinan UMNO termasuk di peringkat bahagian sepakat untuk meneruskan pembelaan terhadap bekas Perdana Menteri itu, seperti ditetapkan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu semalam.
"Kita menjunjung kasih titah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan sebagai institusi yang sentiasa membela dan mempertahankan Raja Melayu, kita menghormati keputusan yang dibuat.
DISYORKAN UNTUK ANDA
"Ini kerana Perlembagaan menyatakan ini kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong, tidak boleh dipertikaikan di dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Kita harap jangan ada suara sumbang di luar sana yang mempertikaikan apa yang diputuskan Yang di-Pertuan Agong terdahulu dalam konteks Lembaga Pengampunan," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Terdahulu, suatu pertemuan khas tertutup diadakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama 191 Ketua UMNO Bahagian di Pusat Dagangan Dunia (WTC).
Pada masa sama, Asyraf Wajdi berkata, pertemuan itu turut diadakan bersama semua kepimpinan tertinggi UMNO dan sayap parti.
Asyraf Wajdi berkata, pertemuan itu diadakan bagi menjelaskan berhubung ketetapan dibuat MKT semalam dengan semua pimpinan sepakat untuk meneruskan pembelaan terhadap Najib.
Sementara itu, Asyraf Wajdi berkata, tindakan Tony Pua memperlekehkan keputusan Lembaga Pengampunan terhadap Najib, bukan mewakili kerajaan.
Beliau berkata, UMNO bagaimanapun akan meneruskan laporan polis terhadap bekas Setiausaha Publisiti DAP itu atas kenyataan biadapnya.
"Itu dia bukan mewakili kerajaan tetapi yang paling penting kita akan meneruskan laporan polis," katanya.
Pemuda UMNO dijadual akan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dang Wangi, petang ini, terhadap kenyataan Tony.
Kelmarin, bekas Ahli Parlimen Damansara, melalui akaun Facebooknya dengan nada sinis menyindir keputusan yang dibuat oleh Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya berhubung hukuman Najib.
Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya mengesahkan Najib akan dibebaskan pada 23 Ogos 2028.
Tarikh itu adalah enam tahun lebih awal dari tempoh hukuman sepatutnya selain jumlah denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan urusetia lembaga tersebut, keputusan berkenaan diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61 yang bersidang pada 29 Januari lalu.
Ulasan
Catat Ulasan