Yang di-Pertuan Agong ikrar pelihara negara dan rakyat
February 26, 2024




KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim ibni Sultan Iskandar dalam titah baginda telah berikrar memastikan kedaulatan tanah air, kemakmuran negara dan kesejahteraan hidup rakyat akan sentiasa terpelihara.


“Mengikut perlembagaan dasar dan peraturan yang ditetapkan kedudukan beta di sini adalah bagi menjalankan tanggungjawab dan memikul amanah Raja-raja.

“Oleh itu, beta menyeru kepada semua pihak sama ada yang duduk sebelah kanan atau di sebelah kiri, marilah kita bersatu hati berganding bahu dan bekerjasama untuk membangunkan negara demi kepentingan seluruh rakyat.

“Di mata beta kejayaan atau kegagalan negara ini bukan terletak di bawah Perdana Menteri sahaja, tetapi semua 222 Ahli Dewan Rakyat telah diamanahkan oleh rakyat sebagai wakil mereka,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian di samping Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah pada Titah Ucapan DiRaja pada Istiadat Pembukaan Penggal Ke-3 Parlimen Ke-5 di Dewan Rakyat, Parlimen, di sini sebentar tadi.

Titah Sultan Ibrahim, semua pihak sedia maklum keutamaan baginda adalah keadaan hidup lebih 33 juta rakyat Malaysia, oleh itu berharap semua Ahli Yang Berhormat akan menumpukan usaha untuk membela nasib hidup mereka.

“Bukannya untuk kepentingan parti politik atau diri sendiri. Ingin beta tegaskan di sini yang beta tidak akan melayan sebarang permintaan daripada mana-mana pihak yang cuba menggugat kestabilan politik negara.

“Semua pihak mestilah menerima kenyataan dan menghormati Kerajaan Perpaduan yang telah dibentuk. Jika ada hendak bermain politik tunggulah masa pilihan raya yang akan datang,” titah baginda.

Baginda juga bertitah mengingatkan bahawa Parlimen adalah tempat para penggubal undang-undang berhimpun untuk membuat peraturan di mana Ahli-ahli Dewan Rakyat semua adalah para penggubalnya.

Oleh itu titah baginda, adalah tidak masuk akal jika penggubal itu sendiri gagal untuk mematuhi peraturan yang dibuat, oleh demikian berharap semua ahli dewan akan tunjukkan contoh teladan yang baik apabila berada di dewan yang mulia itu.

“Jaga adab dan tatatertib serta gunakan tutur kata yang sopan, bukannya memaki hamun orang lain. Kalau tengok perangai ahli dewan sebelum ini beta pun rasa malu hendak masuk ke dewan ini,” titah baginda. – HARAKAHDAILY 26/2/2024

Ulasan