10,000 pengecas menjelang 2050 boleh dicapai?


10,000 pengecas menjelang 2050 boleh dicapai?
March 12, 2024

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam perlu mengkaji semula Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030 yang meletakkan sasaran 10,000 stesen pengecas menjelang 2050.

Ustaz Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) berkata, ini berikutan kenyataan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri bahawa pada ketika cuma terdapat 1,500 pengecas.

“Dan adakah ia (sasaran 10,000 stesen pengecas menjelang 2050) agak-agak boleh dicapai?” soal beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat.

Beliau mengemukakan perkara itu ketika mencelah Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam semasa sesi Jawapan oleh YB Menteri-menteri ke atas Perbahasan Titah Diraja di sini sebentar tadi.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, sebagaimana sudah dimaklumkan angka terkini pada 31 Disember 2023 ialah sebanyak 2,020 unit.

“Dan sememangnya jauh daripada sasaran. Antara punca kelewatan sebagaimana ada saya sebut sebentar tadi ialah satu kita lihat ada kelewatan daripada sudut untuk mendapat sijil daripada pihak bomba.

“Ada beberapa garis panduan yang ada di pihak bomba sebelum ini agak ketat ataupun konservatif yang menyekat pemasangan pengecas di beberapa kawasan terutamanya di tempat letak kereta bawah tanah dan sebagainya,” jawab beliau.

Kedua menurutnya, kelulusan Suruhanjaya Tenaga (ST) memerlukan mesyuarat dahulu, kemudian selepas mesyuarat Lembaga Suruhanjaya Tenaga selesai, barulah kelulusan diberikan ataupun permit diberikan.

“Maka kita telah cuba mempercepatkan beberapa perkara ini. Contohnya bomba telah melonggarkan beberapa syarat-syarat yang mereka perlukan. Kita juga berbincang dengan PBT-PBT untuk memudahkan pemasangan tersebut.

“Dan aspek ketiga juga di peringkat ST, misalnya ST membenarkan orang yang kompeten yang dilantik oleh syarikat-syarikat pengecas ini, mereka dah boleh sign (tandatangan) dan itu diterima sebagai lulus. Tak perlu nak tunggu ST bermesyuarat kemudian. Jadi ini antara inisiatif yang diperbuat.

“Sebab itu masih banyak lagi kelewatan yang perlu ditangani dan kita sedang melihat beberapa langkah untuk mempercepatkan dan ini juga ada elemen apa yang dikata telur dan ayam.

“Sebab itu kerajaan telah mengumumkan tahun ini kita akan memulakan perolehan kenderaan EV untuk kerajaan dengan harapan bahawa ini juga akan melonjakkan permintaan untuk pengecas-pengecas yang ada,” ulas beliau. – HARAKAHDAILY 12/3/2024

Ulasan