108,903 kes sivil masih tertunggak



108,903 kes sivil masih tertunggak
Sebanyak 108,903 kes sivil masih tertunggak sekali gus seperti menafikan hak kedua-dua pihak mendapat keadilan.
Oleh FITRI NIZAM
25 Mac 2024, 8:00 am

PETALING JAYA: Sebanyak 108,903 kes sivil tertunggak dalam tempoh lima tahun sejak 2019 membabitkan di 10 negeri sekali gus menjejaskan proses mendapatkan keadilan kepada kedua-dua belah pihak yang terbabit dalam sesuatu pertikaian.

Berdasarkan pecahan kes tertunggak mengikut negeri Kuala Lumpur mencatatkan kes tertunggak tertinggi iaitu 30,413 kes. Selangor sebanyak 22,849 kes , Johor (12,237); Pulau Pinang (9,946); Perak (7,130); Kedah (6,704); Sabah (5,152); Sarawak (4,985); Negeri Sembilan (4,827) dan Kelantan (4,660).

Kes-kes sivil di negara ini biasanya membabitkan pertikaian mengenai perceraian bukan Islam, tuntutan harta pusaka, tuntutan hutang dan isu-isu melanggar kontrak sesuatu perjanjian.

Angka kes sivil yang tertunggak dari 2019 hingga 2023 itu dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said di Dewan Rakyat pada 4 Mac lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Peguambela dan Peguamcara, Fahmi Abd. Moin berkata, kes-kes tertunggak di mahkamah tidak kira sivil atau jenayah akan menjejaskan kedua-dua pihak yang bermasalah.

Menurutnya, ia memberi implikasi khususnya kepada golongan yang menuntut kerana keadilan tertangguh adalah keadilan yang dinafikan manakala pihak yang dituntut pula seperti memberi ebih masa kepada mereka.

MASA

“Pada masa sama, kes tertunggak juga akan menyebabkan banyak masa, logistik dan kos akan terbuang serta dibazirkan oleh penuntut dan yang dituntut. Ia sekali gus menimbulkan masalah kepada kedua-dua belah pihak iaitu plantif dan defendan dalam masalah tersebut.

“Saya juga berpandangan kes tertunggak atau tertangguh ini memberi kesan kepada penuntut sebagai contoh dalam sesuatu kes saman, jika kes tersebut ditunda pada satu jangka masa lama, ia memberi implikasi kepada pentaksiran ganti rugi.

“Lebih cepat kes dapat diselesaikan lebih besar ganti rugi diterima oleh orang yang menuntut,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Fahmi yang sebelum ini bekas Timbalan Pendakwa Raya (TPR) di Unit Pendakwaan Kuala Lumpur berkata, pelbagai punca menyumbang kepada kes tertunggak di mahkamah antaranya membabitkan isu terlalu kompleks yang tidak dapat diselesaikan dalam masa singkat.
TERTUNGGAK

Selain itu, beliau berkata, satu-satu kes boleh tertunggak apabila plantif atau defendan mahu menukar peguam bela di tengah-tengah perbicaraan.

“Satu lagi punca yang saya rasa menyumbang kepada isu tunggakan kes termasuk kes sivil adalah disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan wabak Covid-19 pada tahun 2020 lalu. Jadi banyak kes terpaksa ditangguhkan sementara waktu kerana pergerakan orang ramai terpaksa dihadkan,” katanya.

Sementara itu, Azalina dalam jawapan lisannya di Dewan Rakyat berhubung isu tersebut memaklumkan, kerajaan melalui Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP) akan mempertimbangkan untuk melakukan kajian bagi menentukan keperluan jika hakim dari negeri lain boleh membantu menyelesaikan kes tertunggak secara dalam talian membabitkan negeri yang mempunyai tunggakan kes tinggi.

Bagaimanapun, kata beliau, kajian perlu dijalankan terlebih dahulu kerana perkara tersebut turut melibatkan Hakim Mahkamah Tinggi yang memerlukan keputusan polisi daripada Hakim Utama Badan Kehakiman.

Katanya lagi, pemantauan statistik kes tertunggak juga dibuat oleh Hakim Besar Malaya dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak dari semasa ke semasa dan langkah sewajarnya akan diambil sekiranya terdapat keperluan untuk membantu lokasi Mahkamah Tinggi yang mempunyai kes-kes tertunggak yang tinggi.
JUMLAH

“Antara pertimbangan adalah menambah jumlah pelantikan Pesuruhjaya Kehakiman; menambah jumlah mahkamah di lokasi yang mempunyai keperluan seperti di Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Mahkamah Tinggi Johor Bahru dan Mahkamah Tinggi Alor Setar.

“Selain itu, pembukaan Mahkamah Tinggi baharu seperti Mahkamah Tinggi Ampang yang dijangka akan mula beroperasi pada tahun 2025,” katanya.

Jelas Azalina lagi, pindaan undang-undang juga telah dibuat membabitkan Akta Mahkamah Kehakiman 1964 [Akta 91] dan Akta Mahkamah Rendah 1948 [Akta 92] berkuat kuasa pada 22 Oktober 2020 untuk membolehkan Mahkamah Persekutuan, Rayuan, Tinggi, Sesyen dan Mahkamah Majistret menjalankan prosiding melalui rangkaian video atau televisyen secara langsung atau apa-apa cara komunikasi elektronik yang lain.

“Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 juga telah dipinda selaras dengan pindaan Akta 91 dan 92 dan telah berkuat kuasa pada 15 Disember 2020 bagi membolehkan tatacara pendengaran kes sivil dijalankan secara dalam talian.

“Berdasarkan peruntukan undang-undang ini mahkamah telah pun menjalankan tatacara pendengaran kes sivil secara dalam talian sejak tahun 2020 dan hal ini telah banyak membantu pihak-pihak menyelesaikan kes secara lebih efektif,” katanya. – UTUSAN

Ulasan