Bodoh sombong jatuhkan standard pasukan Liga M


Bodoh sombong jatuhkan standard pasukan Liga M
TUNKU MAHKOTA ISMAIL SULTAN IBRAHIM
Oleh ROZAIDI ZULKIFLI
26 Mac 2024, 7:09 am

PETALING JAYA: Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim berpandangan mentaliti bodoh sombong antara faktor utama pasukan Liga Malaysia (Liga M) jauh ketinggalan dengan pasukan dari negara serantau.

Pemangku Sultan Johor itu berkata, perkara tersebut boleh dilihat apabila perlawanan berlangsung dalam cuaca hujan lebat, yang mana padang pasti bertakung kerana kebanyakan pasukan di Liga M masih menggunakan padang jenis Cow Grass.

“Mentaliti bodoh sombong, cepat puas hati, selesa, tidak boleh terima fakta dan sentiasa ada alasan yang akan jatuhkan standard liga kita.

“Bukan SNBJ (Stadium Nasional Bukit Jalil) sahaja, semua stadium dalam negara sama, padang berlopak apabila hujan. Yang tidak berlopak hanya SSI (Stadium Sultan Ibrahim) Johor. Itu adalah fakta. Cow Gross mempunyai tanah liat bercampur dengan tanah gambut.

“Itu membuat air susah nak resap. Kita juga satu-satunya negara south east asia (Asia Tenggara) yang masih sanjung rumput lembu/cowgrass,” katanya menerusi perkongsian di Instagram Story.

Selain itu, Baginda turut menegaskan bahawa bukan setakat padang sahaja, penyediaan fasiliti dan infrastruktur yang ada untuk digunakan oleh pasukan Liga M juga teruk.


“Fasiliti dan infrastruktur bola sepak (Malaysia) teruk. Thailand sudah atas kita. Indonesia atas kita dalam segi infrastruktur dan kalau mentaliti kita tidak berubah.

“Liga negara macam Vietnam, Filipina dan Cambodia (Kemboja) akan pintas kita dalam segi infrastruktur bola sepak yang memainkan peranan penting dalam melahirkan kualiti dan standard liga. ‘Good Luck’,” katanya.

Dalam perkongsian itu, pemilik JDT itu ada menyebut Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Justeru, ia seperti memberi mesej yang jelas agar pihak berwajib mengambil maklum perkara ini dan bersedia untuk berubah bersama-sama ke arah lebih baik.

Menerusi pandangan itu, Tunku Mahkota Ismail turut berkongsi gambar di Instagram Story miliknya yang menunjukkan perbezaan padang antara SNBJ serta Stadium Nasional Rajamangala, Thailand dan padang negara jiran itu kelihatan sangat cantik dan tidak terjejas ketika hujan.-UTUSAN

Ulasan