Ahli Parlimen Marang, YB Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang membahaskan Titah Diraja pada 6 Mac 2024. (FOTO: Jabatan Penerangan Malaysia)
Catatan Khas: Apabila Tuan Guru Presiden PAS Berbahas
March 7, 2024
PADA tengah hari siang tadi (6 Mac 2024) tibalah giliran Ahli Parlimen Marang, YB Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang membahaskan Titah Diraja.
Walaupun beliau sering diperli, dimaki dan dicaci kononnya makan gaji buta, kaki ponteng tetapi hakikatnya bukanlah beliau sengaja tidak hadir dan goyang kaki berehat.
Isu ketidakhadiran beliau sengaja diperbesarkan untuk dijadikan bahan serangan sedangkan ada juga Ahli Parlimen Kerajaan yang tidak hadir tetapi didiamkan pula.
Boleh rujuk bukti rekod kehadiran di dalam handsard penyata Rasmi Parlimen bertarikh 26 Februari 2024.
Masa yang diperuntukkan hanyalah 15 minit tetapi ucapan perbahasan Tuan Guru Presiden seperti biasanya sememangnya sarat dengan hujah, dalil, nasihat, kiasan, pedoman dan teguran buat semua.
Ucapan dimulakan dengan menyentuh kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan dan gesaan Tuan Guru agar tafsiran agama itu mengikut acuan Islam iaitu Ad Din yang syumul lengkap sempurna.
Negara kita sudah merdeka lebih setengah abad maka sepatutnya kita tidak lagi terikat dengan tafsiran sempit Barat iaitu ‘religion’ sepertimana yang dikehendaki oleh Suruhanjaya Lord Reid yang menggubal Perlembagaan negara ini.
Beliau memetik nama-nama tokoh perundangan seperti Almarhum Profesor Ahmad Ibrahim dan Almarhum Tun Salleh Abas yang membuat pelbagai cadangan agar syariat Islam dimartabatkan.
Seterusnya, Tuan Guru mengulas berkenaan Daulat daripada kacamata Islam agar ia tidak sekadar menjadi ucapan slogan kosong. Daulat itu merangkumi ketua negara, penggubal undang-undang, jentera kerajaan dan rakyat keseluruhannya, bukan satu pihak sahaja.
Lalu Tuan Guru pun memetik Hadis Nabi Muhammad S.A.W yang bermaksud:
“Ad Din An Nasihah. Agama itu nasihat. Kepada siapa? Hak kepada Allah, Rasul, Kitab, para pemimpin raja-raja dan rakyat keseluruhannya”.
Tuan Guru menjadikan Rasulullah S.A.W sebagai contoh tauladan dalam menegakkan negara Madinah. Daripada perkataan Madinah inilah munculnya istilah Madani. Usah hanya sebut sahaja Madani tetapi tidak menepati apa yang diajar oleh Nabi iaitu yang merangkumi semua aspek dan melibatkan semua pihak.
Contohnya isu cadangan pemansuhan pencen untuk pesara penjawat awam. Tuan Guru menegaskan cadangan ini amat tidak wajar dibangkitkan dan tidak Madani kerana isunya bukan soal duit sahaja tetapi jasa khidmat budi mereka kepada rakyat dan negara.
Tuan Guru memberikan contoh bayaran ganjaran atho’ pencen yang berlaku pada zaman Nabi, Khalifah Saidina Abu Bakar As Siddiq dan Saidina Umar Al Khattab.
Sempat Tuan Guru membaca serangkap pantun orang Melayu berkenaan budi dan jasa;
Pulau Pandan jauh ke tengah,
Gunung Daik bercabang tiga,
Hancur badan dikandung tanah,
Budi yang baik dikenang juga.
Kedengaran bunyi tepukan meja tanda sokongan ahli dewan tatkala pantun ini selesai dibaca.
Allah memberikan ganjaran pahala berpanjangan kepada mereka yang berbuat baik amal jariah walaupun sudah meninggal dunia seperti membina jalan raya, hospital dan bangunan sebagainya yang bermanfaat buat manusia.
Tuan Guru mengimbau kembali sejarah kegemilangan Islam dalam mentadbir empayar besar yang luasnya merangkumi Nusantara sehingga ke Afrika Barat, selatan Eropah, Asia Tengah dan sempadan China yang masyarakatnya majmuk pelbagai bangsa, agama dan budaya.
Mereka semua dapat disatukan kerana bernaung bersatu di bawah tali Allah seperti mana dalam Piagam Perlembagaan Madinah yang menyatukan Muhajirin dan Ansor, Yahudi, Kristian, Majusi dan Musyrikin.
Tuan Guru mengulas lanjut berkenaan adil untuk semua bahkan terhadap musuh sepertimana adab peperangan dalam Islam.
Adil mestilah kepada semua rakyat sendiri termasuk orang bukan Islam.
Inilah konsep adil yang semestinya ada pada diri pemimpin itu sendiri iaitu tidak fasiq, tidak bohong, tidak mungkir janji, tidak khianat, tidak melakukan dosa besar dan tidak berterusan melakukan dosa kecil.
Tuan Guru menjadikan contoh Malaysia Timur dan negeri Pantai Timur Semenanjung yang masih ketinggalan daripada aspek pembangunan infrastruktur sejak zaman penjajah. Bayaran Royalti Petroleum pula dinafikan hak kepada Negeri Kelantan dan Terengganu.
Ketika inilah YB Hulu Terengganu mencelah bertanya adakah Kerajaan Madani ini seperti Burung Tiong yang pandai bercakap tetapi tidak faham apa yang dia cakap.?
Tuan Guru bersetuju dengan pandangan itu dan menjadikan Burung Kakak Tua sebagai contoh.
Kita tidak mahu apabila pemimpin no 1 sebut Madani maka yang lain pun ikut tanpa faham apa makna sebenar Madani?
Suasana dewan begitu gamat dan ceria pada ketika ini.
Tuan Guru turut menjadikan contoh bab peruntukan Ahli Parlimen dan pungutan cukai yang dipungut daripada semua rakyat maka agihannya patut adil juga tanpa mengira sokong Kerajaan atau Pembangkang.
Speaker memberi masa tambahan 3 minit kepada Tuan Guru untuk menamatkan ucapan.
Maka, di penghujung ucapan Tuan Guru mengulas berkenaan keindahan Islam seperti yang ditunjukkan oleh Hamas di Palestin, Hizbullah di Lubnan, Ansorullah di Yaman yang mematuhi adab dalam peperangan dengan menumpukan serangan kepada musuh bukannya membunuh orang tua, perempuan, kanak-kanak, orang sakit seperti yang dilakukan oleh Israel.
Sikap melampau Israel ini ditentang sendiri oleh rakyat yang berdemonstrasi sehingga ratusan ribu berhimpun di negara Barat.
Keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa juga tidak dipatuhi oleh Israel dan sikap bermuka-muka Amerika Syarikat yang memveto resolusi Majlis Keselamatan PBB.
Israel tidak terima pun idea Two State Solution yang dicanang oleh Amerika kerana orang Yahudi menganggap mereka sahaja bangsa mulia, kaum lain adalah Goyyim (bangsa binatang).
Israel sepatutnya dipecat daripada PBB dan dipulaukan kerana mereka tidak layak berada di situ.
Sungguh hebat ucapan Tuan Guru ini tersusun rapi isinya dan disampaikan tanpa ada teks ucapan. Beliau menyampaikan ucapan nasihat, pengkongsian ilmu pengajaran secara tulus ikhlas daripada sanubari hati yang dalam.
Inilah ciri pejuang dan pemimpin sejati yang berani menegakkan kebenaran walau penuh onak ranjau berduri yang mendatang.
Semoga kita semua tidak mempersiakan peluang yang masih ada menuai mutiara ilmu nasihat daripada insan murabbi ummah yang tidak pernah kenal erti penat lelah seperti dalam rangkap lagu Sunnah Orang Berjuang:
“Malamnya bagai rahib merintih sayu,
dihiris dosa air mata,
siangnya bagaikan singa di rimba,
memerah keringat mencurah tenaga”. – HARAKAHDAILY 7/2/2024
Pautan asal : Facebook Syed Ahmad Fadhli
Ulasan
Catat Ulasan