Gaji kecil boleh hilang minat remaja sambung belajar


Gaji kecil boleh hilang minat remaja sambung belajar
Tawaran gaji kecil pihak industri terhadap graduan universiti boleh menyebabkan lepasan sekolah tidak berminat menyambung pengajian ke universiti. -GAMBAR HIASAN
Oleh MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN
9 Mac 2024, 7:29 am

PETALING JAYA: Senario tawaran gaji kecil dan kesukaran mendapatkan pekerjaan dengan gaji setimpal, berisiko membentuk sikap golongan muda yang tidak lagi berminat melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Beberapa ahli akademik percaya, golongan tersebut mungkin berpendapat segala pelaburan untuk meneruskan pengajian khususnya dalam bidang profesional, tidak setara dengan pulangan apabila bekerja.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi dan Kewangan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, kerajaan wajar menyemak semula purata gaji permulaan untuk peringkat ijazah dan industri, bagi menetapkan jangkaan gaji yang realistik.

Secara peribadi, katanya, gaji kompetitif bagi siswazah profesional sekitar RM3,500 hingga RM4,000, namun, jika tiada langkah efektif menyemak gaji semasa, ia akan ‘memerangkap’ siswazah untuk terus berada dalam skim gaji minimum tanpa mengambil kira faktor kelayakan.

“Sebenarnya, tiada satu pun gaji ideal untuk para siswazah, ia berbeza mengikut sektor, industri dan lokasi. Korelasi negatif hubungan antara jangkaan graduan dan gaji permulaan boleh menghalang sesetengah mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi.

“Saya percaya, jika isu gaji kecil ini berterusan, semakin ramai yang tidak berminat menyambung pengajian.


“Saya juga tidak menolak kesukaran mendapatkan pekerjaan bergaji tinggi dengan ijazah menimbulkan rasa kecewa dan persepsi bahawa pendidikan tidak menjamin kejayaan. Sebaliknya, majikan mengutamakan pengalaman berbanding kelayakan siswazah yang boleh menjadikan pendidikan tinggi kelihatan ‘kurang berharga,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sebagai penyelesaian berpotensi, Mohamad Idham berkata, walaupun gaji permulaan mungkin lebih rendah, pihak industri harus menawarkan pakej faedah menarik termasuk insurans kesihatan, elaun latihan atau pilihan saham bagi meningkatkan pampasan keseluruhan.

Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM Terengganu, Dr. Afif Zuhri Muhammad Khodri Harahap pula menggesa kerajaan melaksana gaji progresif segera, supaya golongan pekerja terutama pekerja baharu mendapat gaji bermaruah.

Katanya, sistem gaji progresif boleh memastikan kenaikan gaji lebih kompetitif secara beransur apabila graduan memperoleh pengalaman, berpotensi membawa kepada gaji permulaan lebih tinggi dalam jangka masa panjang.

“Gaji progresif boleh menjadi langkah penting ke arah menangani jurang gaji untuk graduan dan berpotensi mengurangkan penghijrahan cendekiawan di Malaysia.

“Ini juga mendorong kepada peningkatan daya tarik pekerjaan jika terdapat laluan jelas untuk pertumbuhan gaji di samping mengurangkan insentif untuk mencari peluang di luar negara,” katanya.

Laporan Mendepani Cabaran: Perkembangan Kerjaya Bakat Mahir Malaysia oleh Institut Kajian Khazanah pada 4 Mac lalu mendedahkan, dua pertiga daripada siswazah didapati kekal ‘terperangkap’ dalam kadar gaji rendah atau kurang daripada RM2,000 walaupun memiliki tahap pendidikan tinggi.

Kajian itu mendapati, pertumbuhan gaji Malaysia adalah lembab dan tidak banyak berubah sejak 10 tahun lalu.

Sebanyak 65.6 peratus graduan Malaysia mempunyai gaji permulaan kurang daripada RM2,000 pada 2021; 23.5 peratus bagi gaji antara RM2,000 hingga RM3,000 manakala 10.8 peratus bagi gaji melebihi RM3,000.

Akhbar ini kelmarin turut melaporkan, beberapa siswazah yang baru menamatkan pengajian terpaksa bekerja walaupun ditawar gaji permulaan bawah RM2,000 walaupun sukar meneruskan hidup terutama di bandar-bandar besar. – UTUSAN

Ulasan