Gencatan senjata: Israel didakwa sedia hantar delegasi ke Qatar


Gencatan senjata: Israel didakwa sedia hantar delegasi ke Qatar
ASAP berkepul berikutan serangan Israel ketika rakyat Palestin melarikan diri dari utara Gaza ke selatan akibat serangan tentera Israel pada 15 Mac lalu. – REUTERS
Oleh Wartawan Luar Negara
18 Mac 2024, 10:21 am

BAITULMUQADDIS: Agensi bantuan utama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang beroperasi di Gaza berkata, kekurangan zat makanan mening­kat lebih cepat di utara wilayah itu ketika Israel bersedia untuk menghantar delegasi ke Qatar untuk rundingan gencatan senjata baharu.

Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) berkata, satu daripada tiga kanak-kanak di bawah umur dua tahun di utara Gaza kini me­ngalami kekurangan zat makanan di tengah-tengah tekanan yang semakin meningkat ke atas Israel berhubung kebuluran yang semakin melanda di kawasan yang diperangi.

Israel berkata, mereka akan menghantar delegasi ke Qatar untuk jalani lebih banyak perbinca­ngan dengan pengantara selepas musuhnya Hamas mengemukakan cadangan baharu untuk gencatan senjata dengan pertukaran tebusan dan tahanan.

Delegasi itu akan diketuai oleh Ketua Agensi Perisikan Mossad Israel, David Barnea, menurut sumber yang biasa dengan run­dingan itu.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berusaha untuk memanggil Kabinet keselamatan bagi membincangkan cadangan itu sebelum memulakan rundingan.

Usaha untuk mendapatkan gencatan senjata sebelum Ramadan bermula seminggu lalu berulang kali gagal dengan Israel berkata, ia merancang untuk melancarkan serangan baharu di Rafah, bandar terakhir yang agak selamat di Gaza yang kecil dan sesak selepas lima bulan perang.


Canselor Jerman, Olaf Scholz yang memulakan lawatan dua hari ke wilayah itu menyuarakan kebimbangan mengenai sera­ngan ke atas Rafah, berkata, serangan itu akan mengakibatkan banyak korban awam.

Konflik bermula pada 7 Oktober lalu apabila Hamas menghantar pejuang ke Israel, membunuh 1,200 orang, kebanyakannya orang awam dan merampas 252 tebusan mengikut jumlah Israel.

Kempen darat dan udara Israel membunuh lebih 31,500 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut kementerian kesihatan di Gaza yang dikendalikan Hamas.

Ulasan