Isu Nik Elin: Nak tunjukkan PAS tidak pandai mentadbir

Isu Nik Elin: Nak tunjukkan PAS tidak pandai mentadbir
March 2, 2024

Wan Rohimi Wan Daud


GOMBAK: Kemenangan Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid terhadap Enakmen Jenayah Syariah Kelantan dijadikan senjata oleh pihak tertentu untuk menunjukkan seolah-olah Kerajaan PAS tidak pandai mentadbir negeri sendiri.

Pengerusi Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia PAS Pusat, Wan Rohimi Wan Daud berkata, banyak naratif dimainkan dalam media kerajaan menunjukkan terdapat pertindanan undang-undang antara Enakmen Kelantan dengan Undang-undang Persekutuan.

Sedangkan menurut beliau, terdapat kandungan di dalam Enakmen Jenayah Syariah Kelantan itu tiada dalam peruntukan Undang-undang Persekutuan, misalnya muamalah riba di mana syariah mengharamkan jenayah sedemikian.

“Namun begitu perkara sebegini tidak dilihat secara menyeluruh, tetapi Pakatan Harapan (PH) seolah-olah ingin menunjukkan bahawa PAS tidak pandai memerintah negeri melalui pelaksanaan Enakmen Kelantan itu sendiri,” katanya.

Tambah beliau, perkara tersebut juga seolah-olah ingin menunjukkan bahawa undang-undang negeri tidak boleh berbuat apa-apa pun, sekali gus keputusan kes itu telah mendatangkan risiko besar terhadap perundangan syariah di negeri-negeri lain.

Kata beliau, pihak kerajaan bahkan menggunakan naratif bahawa isu tersebut hanyalah sebagai permainan politik yang sengaja dilakukan oleh Perikatan Nasional (PN) itu sendiri.

“Tetapi hakikatnya ialah banyak pihak bukan politik hadir sebagai amicus curiae (sahabat Mahkamah) antaranya Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan seumpamanya dalam kes tersebut.

“Malah banyak NGO Islam yang hadir menunjukkan sokongan terhadap Enakmen Kelantan ketika itu dan ini telah membuktikan bahawa isu tersebut bukan permainan politik sedikitpun,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melor.

Beliau berkata demikian dalam Konvensyen Penerangan PAS Pusat yang diadakan di Akademi Pengajian Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) di Taman Melewar, di sini hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari dan Ketua Penerangan Pemuda PAS, Khairul Nadzir Helmi Azhar.

Beliau menyatakan terdapat banyak lagi naratif salah yang dimainkan oleh Kerajaan PH Madani di mana digunakan untuk memalukan Kerajaan PAS negeri itu sendiri dalam isu tersebut.

“Jadi isu Nik Elin perlu kita ambil tahu perkara yang sebenar berlaku kerana banyak naratif salah yang dimainkan oleh Kerajaan Madani yang mana perkara tersebut perlu dibetulkan,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 2/3/2024

Ulasan