Isu stoking: MPBP batal lesen syarikat Xin Jian Chang




Isu stoking: MPBP batal lesen syarikat Xin Jian Chang
NOTIS pembatalan lesen operasi yang diserahkan MPBP kepada pihak pengurusan kilang Xin Jian Chang Sdn. Bhd., di Kawasan Perindustrian Sri Gading, Batu Pahat.
Oleh ADNAN IBRAHIM
21 Mac 2024, 11:54 am


BATU PAHAT: Kilang Xin Jian Chang Sdn. Bhd., yang beroperasi di Kawasan Perindustrian Sri Gading dikaitkan dengan pengedaran stoking tertera kalimah Allah dibatalkan lesen operasinya oleh Majlis Perbandaran Batu Pahat ((MPBP), hari ini.

Pembatalan itu sebagai tindakan terhadap pengedaran stoking yang tertera kalimah Allah sehingga menimbulkan kontroversi selepas ditemukan dijual di sebuah pasar mini KK Mart di Sunway, Selangor, baru-baru ini.

MPBP dalam hantaran menerusi laman sosial Facebook rasminya hari ini memaklumkan, satu notis pembatalan lesen berkenaan sudah diserahkan kepada Pengarah Urusan Xin Jian Chang, Soh Hui San.

Penyerahan notis pembatalan lesen tersebut disaksikan oleh Yang Dipertua MPBP, Ezahar Abu Sairin.

Tindakan oleh MPBP itu adalah selaras dengan peruntukan Undang-Undang Kecil 13(2) dan Undang-Undang Kecil 49(2), Undang-Undang Perlesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (Majlis Perbandaran Batu Pahat) 2016.

“Menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia (DYAM) Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor. MPBP mendokong penuh titah DYAM Pemangku Sultan Johor bagi terus mempertahankan kemuliaan Islam di negeri Johor.


Menurut hantaran berkenaan, MPBP pada 20 Mac lalu, kira-kira pukul 11.30 pagi diketuai oleh Pejabat Kadi Daerah Batu Pahat bersama sembilan pegawai dan anggota Pejabat Kadi Daerah Batu Pahat serta MPBP telah membuat pemeriksaan menyeluruh ke atas empat premis perniagaan KK Supermart dan Superstore di Batu Pahat.

Dalam pemeriksaan terdahulu oleh pihak polis, iaitu pada 19 Mac, lima pasang stoking yang tertera perkataan Allah ditemukan dan stoking berkenaan adalah barang dipulangkan oleh kedai rangkaian KK Mart Bandar Sunway kepada pihak kilang tersebut sebagai pembekal.

Semalam pihak pengurusan kilang tersebut tampil memohon maaf kepada rakyat Malaysia menerusi kain rentang yang digantung di pintu pagar kilang berkenaan susulan kejadian itu.

Pada kain rentang berkenaan juga pihak kilang berjanji akan memastikan sensitiviti masyarakat berbilang agama terjaga, keharmonian terpelihara selain meningkatkan usaha bagi kawalan kualiti.

Sebelum itu, polis telah memanggil tiga individu melibatkan pemilik, pengurus dan pekerja kilang berkenaan untuk diambil keterangan berhubung isu stoking yang tertera kalimah Allah yang dijual di sebuah kedai rangkaian serbaneka, KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) di Bandar Sunway, Petaling Jaya. – UTUSAN

Ulasan