Jenayah rogol bawah umur: Tarmizi jawab Saifuddin





Jenayah rogol bawah umur: Tarmizi jawab Saifuddin
March 12, 2024

Share

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sik, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman mendesak Menteri Dalam Negeri, Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail membetulkan fakta berkenaan statistik kes jenayah seksual kanak-kanak dibangkitkannya.

Menurut beliau, Saifuddin bukan sahaja telah mengelirukan media dengan mengatakan kes tertinggi adalah di Kelantan, Kedah dan Terengganu, malah tidak mengemukakan data sebenar ketika ditanya di Dewan Rakyat, Parlimen, semalam.

Ahmad Tarmizi sebelum ini membangkitkan isu rogol bawah umur yang berlaku peningkatan sebagaimana laporan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan disifatkannya menunjukkan lemah dan gagalnya undang-undang sivil mengekang jenayah tersebut.

Beliau sehubungan itu menyeru agar Enakmen Jenayah Syariah yang terdapat di negeri-negeri diberi ruang untuk dilaksanakan, ketika berucap pada Perbahasan Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, 29 Februari lalu.

Bagaimanapun Saifuddin ketika menjawab soalan wartawan keesokan harinya menyangkal Ahmad Tarmizi dan mendakwa kes tertinggi adalah di tiga negeri tersebut walaupun terdapat Enakmen Syariah, tanpa memberikan sebarang butiran data.

Kata Ahmad Tarmizi, dilihat daripada statistik kes jenayah seksual bagi tempoh lima tahun (2019-2023) yang telah dikeluarkan oleh PDRM, jumlah kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak di Kelantan ialah sebanyak 734 kes.

“Jika dilihat statistik kes jenayah seksual kanak-kanak dari tahun 2022-2033, kenaikan kes di Johor adalah tertinggi iaitu 39.06 peratus dan bukannya negeri Kelantan.”

“Jadi, soalan saya, dari mana sumber YB Menteri ambil ketika menjawab soalan dari wartawan dengan mengatakan kes jenayah seksual kanak-kanak antara yang tertinggi di Kelantan, Kedah dan Terengganu?” persoalnya.

Beliau turut memetik pandangan pakar-pakar perundangan syariah diterbitkan Journal of Fatwa Management and Research pada Julai 2023 bertajuk ‘Tanggungjwab Pesalah Kanak-kanak Dalam Undang-Undang Rogol di Malaysia: Analisis Menurut Perspektif Syariah’.

Bentangnya, kajian itu telah menyatakan bahawa definisi pesalah rogol dalam Kanun Keseksaan Malaysia yang dibaca bersama Seksyen 113, Akta Keterangan 1950 menganggap kanak-kanak di bawah umur 13 tahun tidak berupaya melakukan melakukan rogol dengan sangkaan yang tidak boleh dipatahkan.

“Ia bermakna mereka terlepas daripada tanggungjawab terhadap kesalahan tersebut. Permasalahannya adalah terdapat kes-kes rogol yang melibatkan pesalah kanak-kanak ini terjadi berdasarkan laporan berita yang diterima kebelakangan ini.

“Ada juga pandangan pakar menyatakan bahawa Akta Keterangan ini telah diperkenalkan di Malaysia pada 1950 dahulu dengan berpandukan kepada Akta Keterangan India 1894 dan sehingga kini akta ini masih digunakan.

“Sedangkan negara New Zealand dan United Kingdom pun telah pinda dan hapuskan seksyen ini. Ia perlu dimansuhkan kerana selagi mana seseorang kanak-kanak lelaki boleh memahami perlakuan seksual tersebut, maka itu adalah rogol.

“Jadi, soalan saya adakah pihak Kerajaan bercadang untuk meminda atau menghapuskan akta Keterangan 1950 ini yang sudah dilihat tidak relevan di masa kini?” ujarnya mengajak kerajaan bermuhasabah terhadap keterangan itu.

Beliau tegas menyatakan bahawa perundangan di dalam sivil berkenaan isu tersebut yang ada pada ketika ini telah ketinggalan dan tidak menyelesaikan masalah di mana perlu untuk pendekatan syariah dilaksanakan bagi mengatasinya. – HARAKAHDAILY 12/3/2024

Ulasan