Kedaulatan: Hanya bererti, terlaksana dengan Islam

Kedaulatan: Hanya bererti, terlaksana dengan Islam
March 6, 2024



KUALA LUMPUR: Kedaulatan itu adalah apabila semua pihak dalam negara dilibatkan dan diberikan haknya termasuk perundangan di mana ia hanya akan terlaksana dan terjamin apabila agama Islam didaulatkan.

Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (PN-Marang) menyampaikan mesej tersebut ketika mengambil bahagian berucap pada Usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan 

Menurutnya, Almarhum Profesor Ahmad Ibrahim dalam Seminar Undang-undang dan Syariat di Universiti Kebangsaan Malaysia tahun 1977 pernah mencadangkan supaya dipinda Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, Almarhum mengemukakan supaya mana-mana peruntukan yang bercanggah dengan Islam hendaklah terbatal iaitu dengan dipinda Jadual Sembilan yang menghadkan kuasa negeri melaksanakan syariat.

“Supaya Islam benar-benar berdaulat dan Raja yang menjadi ketua agama, Raja yang berdaulat. Islam menepati perkataan Ad-Din dalam bahasa al-Quran, satu ajaran yang sempurna yang tak boleh ditafsirkan oleh perkataan religion dalam bahasa Barat, ditafsirkan dalam Suruhanjaya Reid.

“Kerana kita telah Merdeka, (maka) patut kita menafsirkan sendiri Islam adalah sempurna,” ujarnya memetik ayat 3 surah al-Maidah dan menjelaskan akibat daripada pemisahan Islam yang sempurna dengan urusan dunia lainnya.

“Hingga berlaku masalah-masalah dalam kehidupan manusia. Bukan sahaja masalah moral, tetapi juga masalah politik, ekonomi, pentadbiran, alam sekitar, termasuk keamanan dunia.

“Maka Islam mesti berdaulat. Jangan kita (hanya) melaungkan perkataan daulat. Daulat Tuanku! (tetapi) Tuanku tak ada daulat. (Sekadar jadi) Ucapannya saja, cakapnya saja.

“Perkataan daulat itu merangkumi negara seluruhnya ketua negara, raja, presiden, perdana menteri termasuklah penggubal undang-undang legislatif, ahli-ahli parlimen termasuklah jentera-jentera kerajaan termasuk rakyat melibatkan semua,” jelasnya.

Beliau memetik hadis Nabi SAW berkenaan sabda bahawa agama itu nasihat dan apabila ditanya para Sahabat RA, Baginda menjelaskan bahawa nasihat itu hak kepada Allah, Rasul, Kitab-kitab, para pemimpin, raja-raja dan rakyat seluruhnya.

“Diberi hak untuk menasihati antara satu sama lain. Kebesaran Allah adalah mutlak Yang Maha Berkuasa Maha Tinggi, Maha Suci daripada segala kekurangan. Rasul dipilih oleh Allah dengan sifat maksum,” ujarnya.

Menurut beliau, ini perkara yang sangat penting perlu dilaksanakan menepati istilah mendaulatkan negara mengikut undang-undang antarabangsa dan dalam istilah politik iaitulah melibatkan semua pihak, bukan melibatkan satu pihak sahaja. – HARAKAHDAILY 6/3/2024

Ulasan