Kelantan bakal ada lebihan air pada 2028
DR. IZANI Husin (tiga, kanan) menyerahkan sumbangan kepada anak-anak yatim diraikan pada Majlis Berbuka Puasa Bersama ECRL di Kota Bharu, Kelantan semalam. - UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Oleh YATIMIN ABDULLAH
26 Mac 2024, 7:50 am
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan memberi jaminan masalah air yang menghantui penduduk di negeri ini lebih 20 tahun lalu akan selesai sepenuhnya pada 2027 dan pada tahun 2028 Kelantan akan mempunyai lebih bekalan air.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Dr. Izani Husin berkata, hasrat itu mampu direalisasikan apabila semua loji air sedang dinaik taraf dan yang baharu dibina akan siap sepenuhnya pada tahun tersebut.
“Insya-Allah pada tahun 2028 nanti, Kelantan akan mempunyai lebih bekalan air.
“Jadi saya mohon rakyat supaya bersabar, dalam tiga tahun lagi masalah ini akan selesai sepenuhnya,” katanya kepada pemberita semasa sidang media selepas merasmikan Majlis Berbuka Puasa Bersama ECRL, di sini semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijang itu memberitahu, ketika ini kerajaan negeri sedang merancang untuk melaksanakan kerja-kerja menukar paip lama yang sudah uzur sejauh 5,000 kilometer (km) secara beransur-ansur.
Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 1,000 km paip perlu ditukar dengan kadar segera.
“Bagaimanapun, dalam tempoh setahun, kerajaan negeri hanya berupaya melakukan kerja-kerja menukar paip pada jarak 150 km sahaja.
“Insya-Allah, melalui perancangan terbaharu kerajaan negeri akan berbincang dengan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dalam meningkatkan keupayaan dalam kerja-kerja menukar paip-paip air tersebut,” katanya.
Dr. Izani berkata, pada masa sama kerajaan negeri akan mengemukakan kertas kerja kepada Perdana Menteri supaya mempercepatkan mengenai penukaran paip-paip ini.
“Jika lebih ramai kontraktor dapat dilantik, kerja menukar paip dari 150 km dapat ditingkatkan kepada 250 km setahun.
“Sungguhpun begitu, permohonan peruntukan untuk kerja-kerja menukar paip-paip itu akan dibuat mengikut kemampuan,” katanya. – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan