Kenapa perlu hina agama lain?




Kenapa perlu hina agama lain?
Oleh Aznan Bakar
24 Mac 2024, 7:28 am

HIDUP dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia kita tidak boleh elak daripada bertemu akan-rakan yang berlainan kaum dan agama dalam apa juga rutin harian.
Itulah Malaysia. Ia dibina atas komitmen pelbagai bangsa, kaum dan agama. Pilih untuk bersama-sama hidup bahagia di sebuah negara yang kita gelar tanah air tercinta.

Kita tidak mempunyai pilihan, selain menghormati kepelbagaian dan perbezaan ini tanpa syarat. Gagal menghormati perkara ini akan mencetuskan reaksi dari mereka yang tersinggung, seperti mana isu cetakan kalimah Allah pada stoking baru-baru ini.

Hal yang berkaitan dengan stoking mungkin tidak di­sengajakan. Tetapi ada yang bertindak lebih sudu dari kuah melalui kenyataan, gurauan dan hinaan yang menying­gung orang Islam. Sama ada secara sengaja atau tidak, kenapa perlu hina agama Islam yang dianuti oleh majoriti rakyat negara ini?

Saya kongsikan penegasan Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin daripada salah satu ceramahnya berhubung isu hina Islam:

“Orang Islam Malaysia masyarakat yang paling harmoni. Hidup dalam masyarakat Malaysia, orang bukan Islam lebih kaya daripada orang Islam. Pun tidak menjadi masalah.

“Orang Islam pergi membeli di kedai orang bukan Islam, tidak timbul masalah. Bahkan satu orang bukan Islam boleh hidup di tengah kampung orang Islam dan menjadi kaya berniaga, walaupun hal yang sama sukar berlaku bagi orang Islam jika hidup di tengah masyarakat bukan Islam.


“Setelah segala kesantunan penghormatan dan kebaikan budi yang diberikan, tetapi kamu tidak tahu me­ngenang budi. Tidak tahu untuk berurusan dengan cara yang baik, ketika mereka (orang Islam) berurusan dengan kamu guna cara yang baik.

“Ketika Dr. Zakir Naik datang, belum pun menghina mana-mana agama, hanya menyebut perbandingan, mereka bangkit lawan. Semua persatuan belia bising kononnya ini telah menimbulkan provokasi. Bila ada orang hina Islam, mereka kata ini kebebasan bersuara.

“Perbuatan mencabar kestabilan dan perkara-perkara yang dihormati dalam masyarakat Islam yang suci, tidak mengundang apa-apa faedah kepada kamu. Ada banyak benda kamu boleh gurau senda dalam negara ini.

Tetapi gurau senda yang kamu buat itu hanya kerana kebencian yang dalam hati, permusuhan dengan masyarakat Islam, apa yang kamu buat itu boleh mengundang tindakan yang jauh lebih bahaya dalam masyarakat Malaysia.Kebiadaban yang terbabas akan mengundang keburukan yang tidak ada kesudahannya.

“Kami orang Islam akan bergaduh jika Allah dan rasul kami dihina. Ia adalah kesucian dalam hidup kami. Ia adalah kemuliaan yang tidak boleh disentuh. Kamu hina secara diam-diam, kutuk dengan keluarga kamu, nak kutuk Islam, itu kamu dengan keluarga kamu. Kamu iklan secara terbuka, kamu cabar secara terbuka, ia disambut dengan cara terbuka.”

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan pula berkata: “Saya percaya (jika) perkara yang sama turut akan terjadi kepada penganut agama apa sekalipun sama ada Kristian, Yahudi, Buddha, Hindu, Konfusia­nisme, Tao, Sikh, dan lain-lain. Apabila ada yang menjentik kepercayaan yang dianuti, mereka juga akan melakukan apa yang perlu bagi mempertahankan kepercayaan masing-masing.”



Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia

Ulasan