Kepelbagaian kaum hanya slogan murah
Oleh Mohamad Azlan Jaafar
25 Mac 2024, 7:53 am
Perpaduan di Malaysia sentiasa mencuri perhatian. Adakalanya nampak tulen tetapi di benak hati ada rasa ketidakadilan. Perpaduan di Malaysia seperti kasut sukan yang cantik tetapi dieja Adibas.
Masyarakat pelbagai kaum seperti berjalan di atas kaca nipis. Anda tidak tahu bila ia akan retak. Slogan kepelbagaian antara kaum tidak lebih daripada halwa di telinga.
Ramai ahli politik bergambar bersalaman ketika rumah terbuka Aidilfitri atau semasa acara Yee Sang ketika rumah terbuka Tahun Baru Cina untuk menunjukkan perpaduan utuh.
Gambaran itu tidak lebih daripada drama beberapa saat untuk kamera yang lakonannya tidak mungkin terjual di Netflix. Esoknya mereka kembali kepada apa yang mereka lakukan terbaik. Mempertahankan apa yang dirasakan akan memenangkan dirinya di hati pengundi masing-masing. Itu fakta.
Apabila anda mengutamakan kaum anda sendiri, anda sudah bersifat rasis. Cuma bezanya ke tahap mana sifat rasis itu. Asas sistem politik negara yang terbina sejak sekian lama sememangnya berdasarkan falsafah itu.
Apa yang ramai lupa rusuhan 13 Mei 1969 mengingatkan kita bahawa apabila ditolak seseorang ke hujung tebing, keputusannya hanya satu – kemusnahan.
Insiden stoking dengan kalimah Allah yang dijual di cawangan kedai KK Mart meningkatkan suhu kerapuhan perpaduan. Kalimah Allah sangat suci dalam kalangan umat Islam seperti juga Nabi Muhammad SAW, kitab suci al-Quran, masjid dan surau, Mekah, Madinah, Masjid Al-Aqsa di Palestin, makam Rasulullah dan para nabi dan ambia dahulu, isteri-isteri nabi dan ahli keluarganya.
Agama lain seperti Kristian, Buddha, Yahudi atau Hindu juga mempunyai tuhan masing-masing, penyebar agama masing-masing, rumah ibadah, tempat yang diagungkan dan tempat suci.
Apa yang kita gagal lakukan selepas lebih enam dekad merdeka adalah untuk mengerti atau memudahkan asimilasi pengertian semua perkara ini dalam setiap rakyat.
Tiada dalam buku sivik, tata negara atau pendidikan moral yang menceritakan kenapa Allah, atau Jesus atau Buddha penting untuk setiap penganutnya. Tiada siapa menceritakan apa yang menjadikan agama itu sebahagian kehidupan penganutnya.
Kita mengambil ringan atau “take for granted” setiap rakyat akan tahu kepentingan agama lain. Kita anggap setiap orang tahu Allah itu penting kepada orang Islam sebagaimana kita anggap setiap orang Islam faham kenapa Buddha itu penting kepada penganutnya.
Maka kita hidup dalam putaran yang membawa kepada “letupan kecil” insiden stoking dan kalimah Allah. Ahli politik seperti lintah tidak melepaskan kesempatan insiden ini bagi memenangi hati pengundi terutama parti yang kehilangan pengaruhnya dalam kalangan orang Melayu dan Islam.
Walaupun hendak menang hati orang Melayu sekalipun, tiada ahli politik berhak mengarahkan mana-mana bisnes mengubah perniagaan kerana perniagaan dibina bukan menggunakan wang mereka.
Mereka yang bersuara harus menerima hakikat selepas kehilangan majoriti dua pertiga di parlimen dan lima negeri pada PRU 2008, diikuti skandal 1MDB serta dihalau dari Putrajaya pada Mei 2018, Malaysia kini berkiblat kepada partisan politik kaum.
Seperti kata-kata, “anda dapat apa yang anda semai”. Persoalannya adakah kita membiarkan isu stoking memusnahkan negara atau menjadi penggubah kepada pemahaman lebih ikhlas mengenai agama dalam kalangan rakyat.
Mungkin ada kebijaksanaan apabila arwah emak penulis sentiasa membeli stoking rekaan sama untuk semua anaknya. Katanya, macam mana dicampur selepas dibasuh, semua mendapat stoking sama.
Mohamad Azlan Jaafar adalah Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd.
Ulasan
Catat Ulasan