Kod QR, sistem online dan ‘kena main’

Kod QR, sistem online dan ‘kena main’
PeLANGGAN membuat bayaran dengan menggunakan kod QR pada Program Pelancaran Penjaja Cashless di Jalan Tengah, Kuala Lumpur, November tahun lalu. – MINGGUAN/SYAKIR RADIN
Oleh FAUZIAH AROF
3 Mac 2024, 3:13 pm

BILA melihat pelanggan terutamanya warga emas terpinga-terpinga ketika diminta melihat menu dan memesan makanan melalui imbasan kod QR di restoran, tentu timbul rasa kasihan.

Ada yang hilang ‘mood’ dan beredar keluar kerana tidak tahu menggunakan perkhidmatan itu.
Hendak minum teh tarik dan makan roti canai saja tetapi kena pesan dengan cara itu.

Pekerja pula buat sibuk dan tidak sempat nak melayan untuk pesanan secara manual. Mungkin mahu membiasakan pelanggan dengan restoran yang sentiasa sibuk dan pada masa sama majikan tak perlu gajikan ramai pekerja. Jimat kos operasi.

Sekarang ini juga, ada restoran yang tidak menerima pembayaran secara tunai. Guna sistem cashless. Ini lagi tidak digemari terutamanya golongan berusia.

Kena pula dengan masalah internet terganggu, sistem bank buat hal dan tiada wi-fi memang gelabah juga masa hendak bayar.

Bukan saja warga emas, yang belum tua pun bukan semua sukakan dan mahir dengan perkhidmatan digital seperti ini.


Jangan mengata yang tua, yang muda pun ada masih tidak punya sistem perbankan secara talian. Risau duit dalam bank ditelan scammer. Setiap hujung bulan tanya kawan-kawan, gaji dah masuk ke belum? Kemudian beratur di bank keluarkan duit.

Ada yang tidak pernah membeli sendiri barang atau makanan secara online. Beli. Tapi guna akaun kawan-kawan lah.

Tetapi begitu lah akhirnya kita kena biasa-biasakan dengan perkembangan baru dan teknologi. Tidak boleh terus hidup dalam ‘zaman vintage’ lagi.

Zaman berubah. Sekarang di Jepun, robot pun sudah jadi penghantar makanan di sekitar Tokyo! Mengambil pekerjaan manusia.

Pun begitu, dalam mengejar dan mengikuti arus moden, perkara utama perlu ditekankan oleh sektor perkhidmatan adalah segala perkhidmatan sepatutnya memudahkan pelanggan. Bukan menyusahkan.

Jika pelanggan restoran terpinga-pinga tak reti nak imbas untuk menu, bantulah. Yang sudah pandai sebelum ini pun bukan terus jadi pandai.

Perlu juga ada komunikasi dua hala iaitu bersemuka. Sistem berasaskan teknologi maklumat ini bukan semuanya baik. Malah sistem online perbankan pun ada waktunya lambat dan tergendala.

Begitu juga sistem-sistem online yang digunakan kerajaan untuk kemudahan rakyat yang memanjang tergendala (offline) contohnya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Jangan kerana mahu mengikuti perkembangan teknologi kita pun guna lah perkataan online itu ini. Walhal yang online itu sekejap saja. Sistem offline sebetulnya.

Maklumat terbaharu pun lambat dikemaskini atau sebenarnya sistem pengisian data yang ada sudah jauh ketinggalan?

Kemudian terpaksa beratur untuk mendapatkan perkhidmatan di kaunter selepas telefon berkali-kali tak dijawab atas alasan sudah guna sistem online.

Keadaan begini mengingatkan pula saya pada tajuk buku arwah seniman Wak Khalid Salleh dulu – ‘Kena Main’. Macam itulah perasaan kebanyakan kita bila berurusan dengan hal-hal yang dikaitkan dengan efisien dan moden ini. Semuanya di hujung jari tetapi akhirnya kaki juga terpaksa melangkah ke kaunter.

FAUZIAH AROF ialah Pengarang Berita Kanan Mingguan Malaysia.

Ulasan