Lima agensi kerajaan rugi RM3.115 bilion

Lima agensi kerajaan rugi RM3.115 bilion
WAN SURAYA WAN MOHD. RADZI
Oleh ASLINDA NASIR, AHMAD FADHLULLAH ADNAN, ARIF AIMAN ASROL dan HAFIZ SAIDINA
7 Mac 2024, 7:33 am

KUALA LUMPUR: Laporan Ke­tua Audit Negara (LKAN) yang dibentangkan semalam mendedahkan beberapa kepincangan kewangan dalam lima agensi Persekutuan dan syarikat ber­kai­tan kerajaan (GLC) yang mem­bawa kerugian lebih RM3 bilion bagi tahun 2022.

Agensi-agensi tersebut ialah Lembaga Kemajuan Tanah Per­sekutuan (Felda), Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE), Perbadanan Aset Keretapi (RAC), Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Felda mengalami kerugian bersih berjumlah RM1.005 bi­lion, sementara KWIE rugi RM990 juta, RAC rugi RM484 juta dan KWAN rugi RM353 juta, manakala DBKL rugi RM283 juta.

Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd. Radzi berkata, masalah itu berterusan kerana tahap kebergantungan agensi berkenaan terhadap bantuan kerajaan dalam bentuk geran, pinjaman atau jaminan.

Menurutnya, Felda didapati mempunyai kedudukan tunai dan kesetaraan tunai yang rendah berbanding kerugian de­ngan nilai RM808 juta berakhir 31 Disember 2022.

“Geran kerajaan yang diterima pada tahun 2022 berjumlah RM214 juta. Felda bergantung kepada bantuan kewangan Kerajaan Persekutuan untuk menampung kos operasi dan liabiliti.


“Felda mempunyai komitmen yang tinggi untuk melunaskan pembiayaan yang diterima sehingga tempoh matang. Felda memperoleh pinjaman daripada institusi kewangan berjumlah RM7.973 bilion dan Kerajaan Persekutuan berjumlah RM686 juta,” katanya ketika membentangkan LKAN Mengenai Penyata Kewangan Agensi Persekutuan Tahun 2022 di Dewan Rakyat semalam.

Menurut Wan Suraya lagi, Felda mempunyai komitmen bayaran balik Kemudahan Pembiayaan Tawarruq kepada sebuah syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) sejumlah RM50 juta setahun bagi tempoh lima tahun mulai tahun 2024.

“Baki bayaran balik berjumlah RM2.595 bilion perlu dibuat mengikut jadual dalam tempoh 15 tahun mulai tahun 2029,” katanya.

Sementara itu, Wan Suraya berkata, kerugian KWIE pula akibat kos perbelanjaan berjumlah RM1.015 bilion melebihi pendapatan sebanyak RM25 juta menyebabkan kurangan semasa KWIE sejumlah RM990 juta.

“Perkara ini berlaku kerana KWIE tidak menerima sebarang hasil atas lebihan rebat/surcaj tarif elektik berikutan peningkatan kos bahan api. Selain itu, dana KWIE juga digunakan bagi menampung perbelanjaan rebat sebagai pelan mitigasi untuk mengurangkan impak tarif elektrik kepada pengguna,” ujarnya.

Kerugian yang dicatatkan oleh RAC juga berpunca daripada kos perbelanjaan melebihi jumlah pendapatan.

“Perbelanjaan RM641 juta manakala pendapatan hanya RM157 juta. Perkara ini berlaku kerana terdapat penurunan hasil jualan barangan lusuh berjumlah RM0.162 bilion pada tahun 2022.

“Perbelanjaan KWAN sebanyak RM922 juta pula melebihi pendapatan RM569 juta. Ini disebabkan perbelanjaan untuk vaksin Covid-19 berjumlah RM896 juta.

“Sementara DBKL membelanjakan RM2.792 bilion berbanding pendapatan RM2.509 bilion menyebabkan kurangan semasa RM283 juta.

“Perkara ini berlaku disebabkan peningkatan perbelanjaan perkhidmatan dan bekalan berjumlah RM267 juta untuk penyenggaraan kemudahan dan perumahan awam serta pembersihan bandar,” katanya..

Secara keseluruhannya, tambah Wan Suraya, lebihan semasa Agensi Persekutuan adalah disumbangkan daripada janaan pendapatan aktiviti utama manakala kurangan semasa disebabkan oleh penurunan hasil, peningkatan perbelanjaan operasi dan penjejasan nilai pelaburan, pinjaman serta aset.

Sementara itu, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) berdepan risiko kecairan tunai pada masa akan datang susulan tindakannya tidak membuat penjejasan nilai pelaburan dan melakukan pembayaran dividen kepada pencarum berasaskan keuntungan bukan tunai.

Wan Suraya berkata, LTAT tidak membuat penjejasan nilai terhadap pelaburan dalam Boustead Holdings Berhad yang berjumlah RM768 juta dan Pharmaniaga Berhad dengan jumlah RM44 juta.

“Perkara ini menyebabkan untung bersih dan pelaburan dalam syarikat subsidiari terlebih nyata berjumlah RM812 juta,” katanya.

Pada masa sama, LKAN turut mendapati rizab lembaga tersebut berbaki negatif sejak 2020 sebanyak RM338 juta.

Selain kerugian yang dicatatkan lima agensi dan GLC tersebut, Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) juga turut mengalami kerugian bersih berjumlah RM257 juta manakala liabiliti berjumlah RM5.746 bilion.

“Dengan kedudukan tunai dan kesetaraan tunai berjumlah RM428 juta, baki pinjaman sukuk berjumlah RM3.792 bilion perlu dilunaskan hingga tahun 2027 termasuk Sukuk Tranche 2 berjumlah RM1.750 bilion yang akan matang pada Oktober 2024.

“Keadaan ini menunjukkan PR1MA mempunyai komitmen bayaran balik sukuk yang tinggi hingga tahun 2027,” katanya.

Dalam laporan itu juga, LKAN turut menyenaraikan lima agensi Persekutuan yang memperoleh keuntungan tertinggi berjumlah RM49.047 bilion.

Lima agensi tersebut ialah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM35.724 bilion, Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah RM6.986 bilion, Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) sebanyak RM2.603 bilion, Lembaga Tabung Haji (LTH) berjumlah RM1.933 bilion dan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat) dengan keuntungan RM1.801 bilion. – UTUSAN

Ulasan