Lima ahli Parlimen Bersatu kekal sokong PM



KELMARIN, Bersatu meluluskan pindaan kepada Perkara 10 perlembagaan partinya, dengan menetapkan peraturan bahawa ahli yang menentang keputusan parti dianggap telah keluar parti. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO

Lima ahli Parlimen Bersatu kekal sokong PM

Oleh ASLINDA NASIR
4 Mac 2024, 7:30 am

PETALING JAYA: Lima daripada enam ahli Parlimen pembangkang yang menyokong Perdana Menteri sepakat kekal menyokong kepemimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim manakala seorang lagi mempunyai pendirian tersendiri.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman berkata, keputusan bersama itu melibatkannya bersama Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli); Mohd. Azizi Abu
Naim (Gua Musang) dan Datuk Dr. Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Katanya, seorang lagi ahli Parlimen, iaitu Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) yang sebelum ini turut menyokong Perdana Menteri, bagaimanapun tidak termasuk dalam perbincangan tersebut selepas pindaan perlembagaan dibuat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Kami berlima sudah bincang bahawa kita tidak kosongkan kerusi melainkan ia adalah pe­rintah daripada mahkamah dan arahan Speaker Dewan Rakyat.

“Daripada enam ahli Parlimen pembangkang, hanya seorang yang tidak berbincang bersama dengan kita, dia ada pendiriannya tersendiri,” kata­nya ketika dihubungi, semalam.

Kelmarin, Bersatu meluluskan pindaan kepada Perkara 10 perlembagaan partinya dengan menetapkan peraturan bahawa ahli yang menentang keputusan parti dianggap telah keluar parti, sekali gus mencetuskan penguatkuasaan undang-undang antilompat parti.


Bagaimanapun, peraturan itu bukan retrospektif (tidak mengambil kira kejadian ahli Parlimen Bersatu menukar sokongan sebelum ini).

Namun, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ahli Parlimen Bersatu yang sudah menyokong Anwar akan diminta untuk menyatakan semula pendirian mereka.

Mengulas lanjut, Suhaili percaya isu itu bukan suatu proses yang singkat dan dijangka mengambil masa bertahun untuk diselesaikannya.

“Itupun kalau Speaker arahkan kosongkan kersi. Bersatu juga tidak boleh menghantar surat kepada kita kerana mereka perlu menunggu kelulusan pindaan tersebut daripada Pendaftar Pertubuhan (ROS).

“Tidak perlu tanya pada kita banyak kali, kita akan tetap sokong Anwar, kita sokong sejak 2023 dan pendirian itu tidak akan berubah walaupun sudah dibuat pindaan,” katanya.

Dalam pada itu, Syed Abu Hussin ketika dihubungi berkata, tindakan Bersatu untuk melucutkan serta-merta keahlian wakil rakyat yang menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak bertentangan dengan arahan atau pendirian parti adalah sia-sia.

Katanya, ini kerana beliau dan rakan-rakan lain tidak mengubah pendirian dan terus kekal menyokong kepemimpinan Perdana Menteri.

“Kalau ahli Parlimen tidak berpuas hati dengan parti masing-masing, maka mereka boleh menyokong mana-mana kerajaan demi kawasan masing-masing. Hak untuk rakyat yang perlu jadi keutamaan kita, bagaimana nak bantu rakyat kalau kita sendiri tidak dapat peruntukan?” soalnya.

Akhbar ini turut cuba mendapatkan respons Iskandar tetapi beliau tidak dapat dihubungi. – UTUSAN

Ulasan