Majoriti belum daftar PADU: Tak yakin, faktor keselamatan

Majoriti belum daftar PADU: Tak yakin, faktor keselamatan
March 25, 2024


Ahmad Nawfal Mahfodz

KUALA LUMPUR: Majoriti rakyat Malaysia yang masih tidak berdaftar dengan Pangkalan Data Utama (PADU) adalah kerana tidak menyakinkan, susulan tidak mendapat penjelasan yang sebenar mengenai sistem berkenaan; selain atas faktor keselamatan.

Ketua Pemuda PAS Johor, Ahmad Nawfal Mahfodz berkata, rakyat Malaysia sehingga kini masih belum mendapat penjelasan sebenar mengapa mereka perlu mengisi PADU khususnya rakyat yang tinggal di kawasan pedalaman dan kampung.

“Faktor keselamatan juga menyumbang kepada rakyat Malaysia membuat keputusan untuk tidak mendaftar dengan PADU. Ini kerana bagi orang yang kurang faham akan sesuatu perkara baharu, mereka tidak akan sewenang-wenangnya memberikan maklumat diri mereka kepada pihak lain walaupun kepada kerajaan.

“Ini juga termasuk dengan golongan ‘well-educated’ (berpendidikan tinggi) yang lebih tahu akan bahaya akan sesuatu perkara, kecenderungan mereka untuk tidak mengisi PADU yang masih belum mendapat penjelasan yang jelas menjadikan mereka tidak yakin dengannya,” katanya kepada HarakahDaily.

Oleh yang demikian, beliau menyeru kementerian yang terbabit supaya untuk menyampaikan maklumat dan penjelasan yang tepat dan menyakinkan rakyat Malaysia.

“Kalau nak buat sesuatu pelancaran (baharu) perlu mempunyai penerangan yang jelas, perlu ada agensi dan jabatan mana yang perlu berperanan dengan baik untuk menyokong perkara-perkara baru sebegini, apatah lagi bila melibatkan (teknologi maklumat dan) komunikasi,” ujar beliau.

Ahmad Nawfal juga mengaitkan perkembangan tentang PADU itu dengan isu Menteri Ekonomi yang tidak menjalankan tanggungjawab dengan baik jelas dan sebelum ini dilihat telah gagal dengan segala formula dan cadangan yang cuba digunapakai olehnya.

“Beliau seakan-akan hanya pandai guna modal air liur. Tapi, cubalah tanya sesiapapun, kita memang tak nampak apakah sumbangan Menteri Ekonomi itu sendiri.

“Di mana peranan kementeriannya dalam merangsang ekonomi dan sebagainya? Kita tak nampak. Memang tak nampak,” tegasnya.

Malah, penyokong-penyokong PH juga, tambah beliau, dilihat cuba ‘mengiakan’ keadaan ekonomi yang kononnya sudah menjadi lebih baik.

“Ketika saat mata wang Ringgit Malaysia sedikit naik (berbanding mata wang Dolar Amerika) dipujinya yang akhirnya semua merujuk kepada susuk tubuh PMX itu sendiri, walaupun keadaan yang sebenar-benarnya tidaklah sebaik yang dicanangkan.

“Jadi sebenarnya YB (Yang Berhormat) Rafizi Ramli ini dah hilang taring, semua perkara yang dilontarkan memang sangat mudah untuk orang patahkan. Maka, benarlah telahan yang beliau adalah Raja Formula, dan formulanya gagal,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/3/2024

Ulasan