Menoktahkan miskin tegar, perjuangan yang belum selesai
March 16, 2024
MENURUT Kamus Dewan (DBP), noktah bermaksud (tanda) titik, manakala menoktahi bermaksud mengakhiri, dan diterjemahkan sebagai (punctuation mark) full stop, complete stop.
Negara pertama di dunia
Pada 24 Februari 2023, ketika membentangkan Belanjawan 2023, Perdana Menteri mengumumkan iltizam kerajaan untuk menjadikan tahun 2023 sebagai tahun ‘menoktahkan kemiskinan tegar’ di negara ini.
Beliau berkata: “Kira-kira 130,000 orang rakyat tersusah tanpa mengira latar belakang kaum akan segera dibantu untuk keluar daripada belenggu kemiskinan melalui langkah yang lebih menyeluruh”.
Sehubungan itu, ujar Perdana Menteri: “sejumlah RM750 juta peruntukan disediakan untuk tahun 2023 kepada Kementerian Ekonomi bagi menjayakan IPR”.
Pada 24 Jun 2023, Perdana Menteri mengulangi komitmen: “Tahun ini (2023) golongan miskin tegar, kita mesti muktamadkan dan noktahkan jumlah kemiskinan,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Sentuhan Kasih Desa di Nilai, Negeri Sembilan.
Malah pada 7 Ogos 2023, sekali lagi Perdana Menteri mengulangi komitmen untuk menoktahkan miskin tegar, berbanding membina bangunan mencakar langit.
“Anda rasa, saya sebagai PM boleh tidur nyenyak jika lihat ada rakyat miskin tegar tak mampu beli susu dan seragam sekolah? Biar kita noktahkan miskin tegar tahun ini (2023),” katanya ketika berucap pada ceramah Jelajah Perpaduan di Ampang.
Manakala pada 2 Oktober 2023, Dato’ Seri Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Kewangan dilaporkan berkata: “Berbaki kurang tiga bulan, kerajaan akan mengumumkan ‘formula’ sekaligus menoktahkan kemiskinan tegar yang disasarkan pada penghujung tahun ini”.
Kemuncaknya pada 26 November 2023, Perdana Menteri menzahirkan keyakinan: “Sebelum akhir tahun ini, Malaysia merupakan negara pertama di dunia mampu noktahkan miskin tegar'” ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Kongres Nasional Tahunan Keadilan 2023 di Putrajaya.
Noktah tidak bermakna tiada lagi kemiskinan
Walhasil pada Februari 2024, Perdana Menteri berkata usaha membasmi kemiskinan tegar di Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan sudah mencapai status 100 peratus, bermakna tiada lagi keluarga miskin tegar di tiga buah negeri tersebut.
Namun terbaharu, Menteri Ekonomi pada 14 Mac 2024 menjelaskan di Parlimen bahawa pembasmian kemiskinan tegar bukanlah bermaksud kemiskinan ‘dihapuskan sepenuhnya’ di negara ini.
Beliau berkata: “Menoktahkan kemiskinan tegar bukan bermakna (sudah) tidak ada yang miskin dalam sesebuah negara, kerana kemiskinan itu adalah relatif. Kalau macam itu, tak payah ada kerajaan, tak payah ada zakat”.
Kenyataan Menteri Ekonomi ini merupakan suatu tafsiran baharu tentang pengertian ‘noktah’, dan kelihatan sedikit menyimpang daripada sasaran asal Perdana Menteri untuk Malaysia menjadi negara pertama yang berjaya menoktahkan miskin tegar, sebelum hujung 2023.
Malah jika dirujuk kepada dokumen Kajian Separuh Penggal RMK12 (m/s O-13, Perspektif Menyeluruh), diletakkan sasaran jumlah isi rumah miskin tegar dengan angka ‘0’, yakni sifar, iaitu berjaya dinoktahkan dan dihapuskan sepenuhnya di seluruh negara.
Metodologi menyeluruh
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), nilai Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) bagi tahun 2022 adalah RM2,589, dengan nilai PGK makanan sebanyak RM1,198 (paras miskin tegar).
Berdasarkan kepada kajian anggaran kemiskinan yang dijalankan oleh DOSM kesan daripada pandemik, insiden kemiskinan pada tahun 2020 telah meningkat kepada 8.4 peratus dan sedikit menurun kepada 8.2 peratus pada tahun 2021.
Seterusnya, insiden kemiskinan mutlak pada 2022 menunjukkan penurunan kepada 6.2 peratus berbanding tahun 2021, melibatkan anggaran 487,576 isi rumah.
Bilangan isi rumah miskin tegar yang berpendapatan di bawah RM1,198 pula menurun kepada 0.2 peratus (18,445 isi rumah) pada tahun 2022 berbanding 0.4 peratus (2019).
Pada masa sama DOSM sedang membangunkan sebuah paparan (dashboard) statistik pendapatan dan kemiskinan yang turut merangkumi analisis Geospatial bagi tujuan penyebaran dan kefahaman masyarakat umum yang lebih menyeluruh.
Kemakmuran dikongsi bersama
Dalam hal ini, rakyat di daerah-daerah termiskin dalam negara, termasuklah pembangkang, pastinya menyambut baik segala program dan bantuan kerajaan untuk mengeluarkan golongan ini daripada kitaran ganas (vicious circle) belenggu kemiskinan.
Usaha ini perlulah melibatkan peranan Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, dan Baitul Mal, di samping penglibatan pihak swasta, NGO, dan masyarakat setempat, secara sistematik, bersepadu, dan berterusan, di luar bandar mahupun bandar.
Diharapkan perjuangan (dan janji) untuk membasmi kemiskinan akan dilipatgandakan pada tahun 2024, supaya Malaysia menjadi sebuah tempat yang kaya menabur berbakti, yang miskin dapat tumpang berteduh.
Sedikit sama dikongsi, banyak sama dirasai.
SYAHIR SULAIMAN
Bachok,
16 Mac 2024 – HARAKAHDAILY 16/3/2024
Ulasan
Catat Ulasan