Muhyiddin cabar PM, kosongkan enam kerusi parlimen, satu DUN



Muhyiddin cabar PM, kosongkan enam kerusi parlimen, satu DUN
MUHYIDDIN YASSIN
Oleh ASLINDA NASIR
9 Mac 2024, 11:04 am

KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mencabar Perdana Menteri untuk mengosongkan enam kerusi parlimen dan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) supaya pilihan raya boleh diadakan dengan segera.

Ia berikutan sokongan yang diberikan oleh wakil rakyat itu kepada Datuk Seri Anwar ibrahim, sekali gus bertentangan dengan prinsip parti.

Jelas Muhyiddin lagi, kekuatan setiap parti akan diuji menerusi pilihan raya yang dibuat, sekali gus Muhyiddin yakin sokongan rakyat masih berpihak kepada mereka meskipun berada di barisan pembangkang.

“Saya hendak beritahu Perdana Menteri…buatlah apa pun. Tindakan itu tidak akan mengubah tanggapan negatif rakyat kepada kerajaan pimpinan kamu yang gagal mentadbir negara dengan baik. Sebaliknya, saya percaya tindakan itu akan backfire kepada kerajaan PH-BN.

“Rakyat tahu sandiwara kamu. Rakyat tahu tujuan kamu. Rakyat tidak suka dengan perbuatan kamu. Jika berani, isytiharkan enam kerusi parlimen dan satu kerusi Dewan Undangan Negeri Selangor kosong. Kita kembalikan mandat kepada rakyat dan biarlah rakyat yang membuat perhitungan.

“Saya bukan hendak mendabik dada, tetapi saya yakin, insya-Allah, PN akan menang lebih besar di kerusi-kerusi ini jika pilihanraya kecil diadakan,” katanya ketika berucap pada majlis Konvensyen Wakil-Wakil Rakyat Perikatan Nasional 2024 di Hotel Sunway Putra, di sini hari ini.


Terdahulu, enam ahli parlimen Bersatu mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri ialah Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang) dan Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang).

Seorang ADUN juga telah membuat tindakan yang sama baru-baru ini iaitu ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari. – UTUSAN

Ulasan