Palestin, Al-Aqsa tema Madinah Ramadan Kelantan





Palestin, Al-Aqsa tema Madinah Ramadan Kelantan
March 8, 2024

KOTA BHARU: Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) membina sebuah khemah gergasi bagi menjadikan Dataran Warisan di Stadium Sultan Muhammad IV sebagai lokasi utama penganjuran Madinah Ramadan 2024.

Exco Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Hilmi Abdullah berkata, pada tahun ini aktiviti tahunan itu dibina dengan bertemakan perjuangan rakyat Palestin dan pembebasan Masjid al-Aqsa yang dikongkong oleh Israel.

Beliau berkata, usaha tersebut memupuk kembali kesedaran sokongan masyarakat terhadap perjuangan panjang rakyat Palestin yang saban hari ditindas dan dibunuh ketika semua umat Islam seluruh dunia bakal menempuh bulan penuh keberkatan.

“Pada tahun ini kita membuat reka bentuk dan juga suasana di Madinah Ramadan berkonsepkan cinta Palestin sebagai tanda solidariti dan keprihatinan kita untuk sama-sama membantu dan menyumbang kerana mereka juga puasa dalam kesusahan.

“Berpuasa tetapi tidak dapat bersahur, walaupun berpuasa tetapi tidak dapat berbuka, kemungkinan tidak dapat berhari raya dan tidak dapat menunaikan solat berjemaah sebagaimana kita solat di sini kerana masjid semua sudah musnah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Tabung Madinah Ramadan 1145H/2024 oleh Menteri Besar, Ustaz Dato’ Panglima Perang Mohd Nassuruddin Daud yang diadakan di Medan Ilmu, Jalan Dato Pati Kota Bharu di sini pagi tadi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guchil itu berkata, Madinah Ramadan menjadi tradisi kerajaan negeri mengimarahkan bulan tersebut bagi menganjurkan majlis itu yang pernah ditangguhkan pada tahun 2021 akibat penularan wabak Covid-19.

Bagaimanapun katanya, program tersebut diadakan semula setahun kemudian di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV dengan melaksanakan dan mematuhi peraturan ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyekat pandemik tersebut.

Beliau berkata sebelum ini Madinah Ramadan dikenali dengan Qaryah Ramadan, namun sejak tahun 2014 nama tersebut dimasyhurkan sebagai Madinah Ramadan sehingga hari ini dilaksanakan dengan pelbagai pengisian sepanjang Ramadan.

Malah pada tahun 2007 katanya, kerajaan negeri menjemput qari dari negara Mesir untuk mengetuai solat tarawih dan mendapat sambutan yang baik bukan sahaja rakyat Kelantan, bahkan menarik perhatian masyarakat luar Kelantan termasuk Selatan Thailand.

“Pelaksanaan Madinah Ramadan ini telah menjadi program rasmi Kerajaan Kelantan adalah berdasarkan slogan ‘Membangun Bersama Islam’ yang mana ianya memberi impak yang besar dalam pentadbiran khususnya pelaksanaan aktiviti dakwah ibadah dan kebajikan.

“Madinah Ramadan akan menghimpunkan ribuan jemaah untuk menunaikan solat tarawih dan menyertai pelbagai aktiviti kerohanian dan keilmuan di sini Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV sepanjang 30 hari umat Islam berpuasa sejak 1994 lagi,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/3/2024

Ulasan