PAS juga berperanan jaga orang Cina, India

PAS juga berperanan jaga orang Cina, India
March 4, 2024


GOMBAK: “Kita jangan terlalu sibuk jaga orang-orang Melayu sampai lupakan bangsa Cina dan India.

”Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, keadaan ekonomi pada masa ini bukan sahaja memberi kesan kepada golongan Melayu tetapi juga kepada orang-orang Cina dan India.

Kata beliau, penurunan nilai mata wang dan diikuti dengan amalan rasuah yang tidak selesai turut memberikan impak yang buruk kepada orang-orang Cina kerana mereka banyak terlibat dalam perniagaan.

“Namun, kadang-kadang kita tidak peduli kerana kita hanya tekankan pada isu agama dan kita cakap tentang ‘PAS For All’ (PAS untuk semua) tapi hanya fikirkan masalah kita sahaja,” katanya.

Menurut beliau, untuk menjadi sebuah kerajaan perlu menjaga kebajikan semua bangsa lebih-lebih lagi dengan pegangan ‘PAS For All’.

Tambah beliau, perkara tersebut tidak boleh dicapai sekiranya hanya berfikir mengikut konteks agama dan bangsa Melayu sahaja semata-mata.

“Bagaimana kita nak menjadi kerajaan sekiranya kita hanya berfikir ikut konteks Melayu Islam kita sahaja sedangkan orang-orang Cina dan India juga mempunyai masalah untuk dihadapi,

“Jadi sebab itu apabila kita cakap ‘PAS For All’ mestilah merangkumi semua bangsa dan sebab itu yang paling penting ialah isu keadilan dan hak-hak masyarakat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian di Konvensyen Penerangan PAS Pusat yang diadakan di Akademi Pengajian Kolej Universiti Islam Zulkilfi Muhammad (KUIZM) di Taman Melewar, di sini, pada Sabtu.

Dalam pada itu, Mohd Amar menegaskan bahawa isu ekonomi perlu ditekankan memandangkan perkara tersebut melibatkan semua bangsa negara ini.

Beliau menyatakan, apabila digunakan dengan baik mengenai isu tersebut maka sedikit sebanyak dapat menarik minat ramai orang bukan Islam untuk menyertai PAS itu sendiri.

“Bila kita tekankan betul-betul isu ekonomi termasuklah salah guna kewangan ekonomi negara maka ramai orang bukan Islam akan mula untuk sertai kita.

“Contoh-contoh sebegini saya sebut supaya semua orang nampak membuka pemikiran yang lebih luas,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/3/2024

Ulasan