Pastikan kampus tempat selamat untuk pelajar

Pastikan kampus tempat selamat untuk pelajar
Oleh Dr Mohd Hafiz Zulfakar - Mac 3, 2024 @ 12:30pm
Mac dan September setiap tahun biasanya menyaksikan kemasukan pelajar pengajian peringkat ketiga, terutama universiti awam (UA) sama ada pendaftaran pelajar baharu mahupun kepulangan pelajar lama.
-ADVERTISEMENT-

Tentu sekali detik ini sangat penting kerana pendidikan di peringkat ini bakal mencorak langkah masa hadapan mereka, sekali gus turut menyumbang kepada pembangunan negara mampan dan progresif.

Selain komitmen pelajar dan dedikasi pendidik, antara faktor lain mampu mendorong kejayaan pelajar di menara gading ialah keadaan kampus tempat pengajian kondusif dan selamat sepanjang masa.

Sebab itulah, sistem pengurusan risiko efektif dan teguh perlu diwujudkan agar dapat meminimumkan atau menangani sebarang risiko insiden dan kemalangan. Hal ini perlu sentiasa diingatkan sama ada kepada pentadbiran universiti mahupun pelajar itu sendiri.
DISYORKAN UNTUK ANDA










Ini kerana andai ia kurang diberi perhatian, kemalangan membabitkan penuntut akan mudah dan kerap berlaku. Sudah pasti ia akan menjejaskan bukan sahaja fizikal, bahkan emosi dan mental pelajar.

Kita pernah didedahkan kejadian tidak diingini di kampus yang sepatutnya kondusif dan selamat. Antara kes biasa didengar ialah terkena renjatan elektrik ketika mengulang kaji pelajaran, jatuh bangunan ketika cuba menyidai pakaian, dilanggar ketika melintas jalan dalam kawasan kampus dan dijangkiti demam denggi, selain mengalami keracunan makanan.


Tidak dinafikan pihak pentadbiran institusi pengajian tinggi (IPT) mewujudkan Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) untuk memastikan keadaan tempat kerja di dalam kampus adalah selamat serta bebas risiko insiden serta kemalangan.

Namun, skop keselamatan dan kesihatan di dalam kampus pusat pengajian perlu diperluas dengan merangkumi pelajar itu sendiri. Harus diingatkan, pelajar boleh dianggap sebagai pelanggan merangkap pemegang taruh dan pihak berkepentingan tinggi dalam ekosistem sistem pendidikan tinggi.

Proses pengurusan risiko merangkumi tiga komponen asas, iaitu mengenal pasti bahaya, menilai dan mengawal risiko. Pengurusan risiko keselamatan perlu dilaksanakan, bukan sahaja pada bangunan yang proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) diadakan, bahkan merangkumi kolej kediaman, dewan makan dan kafeteria, kompleks sukan, ruang awam serta laluan dan jalan di dalam kampus pengajian.

Justeru, hazard atau bahaya dan punca boleh mendatangkan mudarat kepada pelajar di dalam kawasan kampus perlu dikenal pasti terutama bahaya fizikal, biologi, kimia, ergonomik serta psikologi.

Bahaya fizikal paling banyak dilaporkan kesan bilik kuliah dan kolej kediaman tidak diselenggara dengan betul seperti pendawaian usang, kerusi serta meja rosak, lantai dan tangga licin dan gelap, bumbung bocor, tingkap pecah serta tidak kukuh, peralatan dan kelengkapan makmal tidak dilakukan penentukuran, ruang pejalan kaki dan kawasan melintas tiada kawalan atau pengasingan dan dahan pokok tidak ditebang.

Ancaman biologi pula merangkumi elemen boleh mendatangkan penyakit termasuk bahaya binatang dan serangga khususnya di kolej kediaman seperti nyamuk aedes, tebuan, semut, serangga perosak serta anjing dan monyet liar.

Ia juga boleh hadir daripada penyakit bawaan udara dan sentuhan kulit daripada rakan kuliah serta kakitangan kampus, seperti influenza, batuk tibi dan kokol, eczema dan COVID-19.

Dari segi psikologi pula, penuntut boleh terancam dengan ancaman seperti buli, beban pelbagai tugasan, keresahan, tekanan rakan sebaya melampau dan gangguan seksual.

Kenal pasti punca bahaya

Oleh itu, jawatankuasa keselamatan perlu mengenal pasti punca bahaya ini secara berkala melalui lawatan tapak dan pengamatan berterusan. Maklum balas pelajar sama ada daripada peti aduan, laporan kejadian dan kemalangan terdahulu juga boleh dijadikan input dalam proses ini.

Apabila punca bahaya sudah dikenal pasti, langkah seterusnya adalah menilai tahap risiko dari segi kebarangkalian kejadian dan tahap keterukan sekiranya sesuatu punca bahaya itu sudah bertukar menjadi kemalangan.

Harus diingat, ada situasi bahaya mungkin mempunyai kebarangkalian tinggi untuk berlaku, tetapi dari segi tahap keterukannya hanya rendah seperti jatuh akibat keadaan lantai licin.

Namun, ada juga situasi mempunyai kebarangkalian kejadian rendah, tetapi apabila berlaku, boleh mendatangkan bahaya tinggi seperti kebakaran di kolej kediaman, bumbung dewan runtuh dan letupan di makmal.

Hasil proses penilaian tahap risiko, pihak jawatankuasa keselamatan IPT boleh menyenarai dan menyusun mengikut tahap kedudukan rendah hingga paling tinggi dan kritikal untuk memudahkan proses pengurusan seterusnya, iaitu mengambil langkah pengawalan risiko.

Sudah pasti, tumpuan perlu diberikan kepada risiko dilabel tinggi. Tindakan pembetulan bagi menyahkan risiko mesti segera dilakukan dan diberi keutamaan berbanding urusan lain.

Malangnya, ramai mengambil mudah hal ini kerana mempunyai persepsi tidak tepat setiap kali kemalangan. Apabila kejadian tidak diingini berlaku, adegan tuding jari mula terjadi.

Ada juga tanggapan sekiranya berlaku sebarang insiden atau kemalangan, kos hanyalah berbentuk perubatan dan insurans serta pampasan. Hakikatnya, banyak lagi kos perlu ditanggung termasuk siasatan, ganti rugi, pentadbiran dan undang-undang serta reputasi.

Malah, kegagalan mengurus dan mengawal risiko insiden serta kemalangan mampu mengganggu-gugat kelancaran dan ketenangan pelajar. Perasaan tidak tenteram akan sentiasa menyelubungi dan bimbang terhadap kecelakaan mungkin menimpa bila-bila masa. Apabila ini berlaku, sudah pasti tumpuan dan produktiviti mereka terjejas.

Justeru, pentadbiran IPT wajib mengambil langkah proaktif dan pencegahan dalam menguruskan risiko keselamatan serta kesihatan sepanjang sesi semester pengajian berlangsung

Ulasan