Pihak terlibat stoking tulisan kalimah Allah didakwa esok





Pihak terlibat stoking tulisan kalimah Allah didakwa esok
Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR
25 Mac 2024, 5:21 pm


PETALING JAYA: Pihak yang didakwa terbabit dalam isu penjualan stoking mempunyai kalimah Allah bakal dituduh ke Mahkamah Sesyen Shah Alam, esok.

Menurut maklumat diterima media, Unit Siasatan Jenayah Terkelas Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman bakal membuat pertuduhan di bawah Seksyen 109 dan 298 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, polis dilaporkan sudah melengkapkan dua kertas siasatan membabitkan KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) dan syarikat kilang pengedar yang mengimport stoking yang tertera kalimah Allah mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan.

Kes itu disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang–Undang (D5) Bukit Aman di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu atas alasan agama, menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci serta niat jahat atau memudaratkan perpaduan.

Pada 13 Mac lalu, tular dalam media sosial isu stoking tertera kalimah Allah dijual di KK Mart Bandar Sunway, selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna.

Dalam pada itu, KK Super Mart & Superstore Sdn. Bhd. (KK Super Mart) dilaporkan memohon maaf berhubung penjualan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah ‘Allah’, di beberapa cawangan kedai serbaneka itu.

Ulasan