Pinjaman terus meningkat atasi deposit pada Januari



Pinjaman terus meningkat atasi deposit pada Januari

PERTUMBUHAN pinjaman dalam sistem perbankan negara terus meningkat, mengatasi pertumbuhan deposit pada Januari 2024. - GAMBAR HIASAN
Oleh NUR NAZLINA NADZARI
6 Mac 2024, 8:25 am

PETALING JAYA: Pertumbuhan pinjaman dalam sistem perbankan negara terus meningkat, mengatasi pertumbuhan deposit pada Januari 2024, kata RHB Research.

Menurut nota penyelidikannya, pinjaman pada Januari 2024 berkembang 5.7 peratus tahun ke tahun dan 0.3 peratus bulan ke bulan.

“Dari tahun ke tahun, peningkatan itu dipacu pinjaman kepada sektor isi rumah (enam peratus), kewangan (13 peratus) dan pembuatan (lima peratus), yang mengimbangi penurunan pinjaman yang diberi kepada sektor pembinaan, pertanian dan utiliti.

“Berdasarkan bulan ke bulan pula, pinjaman isi rumah meningkat 0.6 peratus, manakala pinjaman perniagaan dilihat mendatar pada -0.2 peratus akibat kemerosotan jumlah pinjaman kepada sektor utiliti (penyusutan enam peratus),” katanya.

Bagaimanapun, firma penyelidikan berkata, petunjuk pemberian pinjaman memaparkan permintaan lebih rendah secara berturutan daripada segmen perniagaan.

RHB Research mengekalkan unjuran pertumbuhan pinjaman sebanyak 4.5 peratus hingga lima peratus untuk 2024.


“Namun, kami ingin menekankan bahawa daripada sesi taklimat yang dihadiri baru-baru ini, permintaan pinjaman kelihatan bagus dan mungkin terdapat potensi untuk menaikkan unjuran kami,” ujarnya.

Sementara itu, MIDF Research kekal positif dengan sektor perbankan dipacu hasil dividen yang kukuh, kenaikan harga saham masih ada, walaupun terhad kerana kebanyakan faktor positif telah dinilai dari sudut asas.

Menurut nota penyelidikannya, pinjaman runcit kekal stabil manakala pinjaman perniagaan menyaksikan sedikit penurunan pada asas bulan ke bulan.

Katanya, pinjaman runcit meningkat 7.9 peratus tahun ke tahun dan 0.8 peratus bulan ke bulan.

“Pada asas bulan berturut-turut, terdapat peningkatan dalam pinjaman sewa beli. Kategori popular lain menyaksikan pertumbuhan yang lebih sederhana.

“Pinjaman perniagaan menyaksikan pertumbuhan 3.2 peratus tahun ke tahun, namun menyusut sebanyak 0.4 peratus bagi bulan ke bulan. Pinjaman modal kerja menyaksikan kelemahan, tetapi terdapat peningkatan mendadak dalam pinjaman pembinaan,” jelasnya.

Firma penyelidikan berkata, penunjuk utama bagi sektor ini masih utuh, selain pertumbuhan deposit adalah kukuh, didorong oleh pemulihan dalam akaun semasa dan akaun simpanan (CASA) runcit.

“Kadar deposit Islam menyaksikan peningkatan apabila bank mengeluarkan Nisbah Perlindungan Mudah Tunai (LCR) dan pengambilan pinjaman perusahan kecil dan sederhana (PKS) menjadi lebih kukuh,” ujarnya.

Pilihan utama MIDF Research adalah Bank Islam Malaysia Berhad. danAlliance Bank Malaysia Berhad dengan saranan ‘beli’ pada harga sasaran (TP) masing-masing pada RM2.68 dan RM4.08. – UTUSAN

Ulasan