Polis tahan lelaki Israel, rampas enam pistol – Razarudin


Polis tahan lelaki Israel, rampas enam pistol – Razarudin
KETUA Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain
Oleh MEDIA MULIA
29 Mac 2024, 7:28 pm

KUALA LUMPUR: Tindakan seorang lelaki Israel menggunakan pasport negara Perancis untuk masuk ke ibu negara terbongkar selepas dia ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sebuah hotel di Jalan Ampang dekat sini pada Rabu lalu.

Lebih mengejutkan, lelaki berusia 36 tahun yang masuk ke negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) turut menemukan enam pucuk senjata api bersama 200 butir peluru bersamanya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pemeriksaan di bilik hotel menemukan semua senjata api jenis Glock 19 Marine, Glock 17 Gen 4 ; Smith and Wesson ; Sih Sauer dan Stoeger serta peluru yang diletakkan di dalam beg miliknya.

Kata beliau, siasatan mendapati kesemua senjata berkenaan dibeli suspek sebaik tiba di negara ini dengan menggunakan mata wang kripto.

Jelas beliau, pembayaran senjata yang dibeli itu belum diketahui.

“Soal siasat Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman terhadap suspek mendapati, dia datang ke negara ini untuk mencari seorang individu yang didakwanya juga rakyat negaranya untuk dibunuh berkaitan isu keluarga.


“Bagaimanapun, kita masih menjalankan siasatan dan berkemungkinan suspek mempunyai agenda lain datang ke negara ini,” katanya dalam sidang akhbar di Masjid Al-Amin Pasukan Gerakan Am (PGA) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kata beliau, siasatan polis percaya suspek tidak bergerak solo dan mungkin mempunyai rangkaian dengan individu tertentu yang belum dikenal pasti.

“Dia telah masuk ke negara ini menaiki penerbangan melalui Emiriyah Arab Bersatu (UAE) ke Malaysia,” jelasnya.

Kata Razarudin, suspek juga dipercayai berpindah randah dan telah duduk di dua atau tiga hotel sebelum diberkas.

“Pada mulanya kita mendapat maklumat awam pergerakannya yang meragukan sebelum kita mengekori dan menahan suspek,”ujarnya.

Dalam pada itu, ditanya adakah lelaki berkenaan merupakan ejen Israel, Razarudin berkata, siasatan masih berjalan.- UTUSAN

Ulasan